Himpunan Anak Muda Bakal Serlahkan Kebersamaan Pemuda UMNO-PAS Di #HPU914


KUALA LUMPUR, 11 Sept – Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) yang bakal berlangsung bermula 13-14 Sept nanti bakal menyerlahkan kepimpinan anak muda secara santai melalui program ‘Himpunan Anak Muda’.

Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Rais Yasin memaklumkan, melalui Himpunan Anak Muda, khalayak dapat lebih mendekati kepimpinan Pemuda UMNO dan PAS yang ternyata bukan hanya bertumpu kepada soal politik.

“Melalui ‘Himpunan Anak Muda’, kita memberi ruang dan peluang kepada semua pihak untuk bersama-sama sebagai sokongan kepada penyatuan Ummah yang lebih besar,” katanya kepada UMNO-Online.

Lebih bermakna katanya, sesi ‘Town Hall’ yang diadakan dalam program ini akan mengupas secara langsung penglibatan dan peranan anak muda yang ternyata amat penting dalam pembentukan penyatuan ummah.

“Panel untuk sesi ‘Town Hall’ ini ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang akan sepentas bersama Ketua Pemuda PAS, Ir. Khairil Nizam Khirudin.”

Maklum beliau, turut serta sebagai panel bagi sesi tersebut ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Saudara Shahril Hamdan; Ketua Penerangan Pemuda UMNO, YB Mohd Shahar Abdullah; Timbalan Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Ahmad Fadhil Shaari dan Naib Ketua Pemuda PAS, Ustaz Afnan Hamimi serta moderatornya ialah Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

“Kita mengalu-alukan orang ramai khususnya anak muda untuk bersama-sama memeriahkan acara ini kerana program ini akan mengupas hala tuju dan perjuangan secara tuntas demi kelangsungan agama, bangsa dan negara kita.

“Kita bukanlah menyajikan program berbentuk politik semata-mata sebaliknya kita juga menyediakan ruang yang santai melalui persembahan busker, nasyid, sajak dan puisi,” katanya.

Program Himpunan Anak Muda yang akan berlangsung di Plaza Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 Sept bermula pukul 3.00 petang.

“Kita juga akan mengadakan solat Asar secara berjemaah sebelum bermulanya sesi ‘Town Hall’,” jelas beliau lagi.

Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS akan berlangsung selama dua hari dengan acara kemuncaknya melibatkan acara menandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.