Ayuh Jayakan #HPU914, Satu Titik Permulaan Melayu Dan Islam


MELAKA, 11 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata pada 14 September ini akan menjadi satu titik permualaan bagi UMNO dan PAS apabila termeterainya piagam yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air.

Katanya penyatuan kedua-dua parti terbesar Melayu ini menjadi satu sejarah yang begitu penting terhadap negara terutamanya umat Islam dan Melayu yang ingin melihat satu persetujuan bersama bagi mewujudkan perpaduan umat Islam dan Melayu.

“Ini adalah ketentuan Allah SWT dan insya-Allah…  piagam ini akan termetrai pada 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Kita bersyukur kepada Allah SWT apa sekalipun berlaku terdapat hikmah yang sangat besar.

“Sudah semestinya menjadi satu titik permulaan untuk orang Melayu bersatu di bawah satu payung dan untuk memastikan agama Islam dan bangsa Melayu tidak tergugat oleh mana-mana pihak,” katanya kepada UMNO-Online.

Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka menegaskan umat Islam di negara ini haruslah bersatu, ketepikan keegoan demi memartabatkan dan mempertahankan kedudukan agama Islam yang semakin digugat oleh bangsa lain.

Sehubungan itu beliau menyeru untuk pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS di semua peringkat termasuklah di akar umbi untuk sama-sama hadir menjayakan Himpunan Perpaduan Ummah yang bakal bermula Jumaat ini.

“Kepada seluruh warga umat Islam dan Melayu tak kira parti apa sekalipun, marilah sama-sama hadir dalam satu perhimpunan yang besar untuk umat Islam dan Melayu. Ketepikan fahaman politik masing-masing dan yang penting kita berkumpul beramai-ramai untuk memastikan bangsa Melayu dan Islam akan berada ditampuk yang sebenarnya di Tanah Melayu ini.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.