Wanita UMNO & Muslimat PAS Pelawa Sertai Pelbagai Program Menjelang #HPU914

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pergerakan itu bersama-sama Muslimat PAS telah mengatur pelbagai program bersempena dengan Himpunan Perpaduan Ummah (#HPU914) yang bakal berlangsung di PWTC pada 13 dan 14 September ini.

Jelas beliau, semua rakyat Malaysia dijemput hadir bagi menyertai setiap program yang telah disediakan nanti.

“Kita telah membuat jemputan diperingkat akar umbi… kita juga telah merancang pelbagai acara pada 13 dan 14 September nanti.

“Pada 13 September pagi, kita akan berkumpul bersama-sama dengan Muslimat PAS… kita akan menjalankan solat Dhuha yang akan diketuai oleh Ketua Muslimat PAS Pusat.

“Kemudian kita akan adakan forum sebelum di mana saya dengan Ustazah Nuridah akan menjadi panel dan seterusnya akan diikuti dengan pelbagai program sehingga malam,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Wacana Himpunan Penyatuan Ummah yang bertajuk ‘Wanita Penggerak Penyatuan Ummah’ bersama-sama Ketua Muslimat PAS Pusat, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang disiarkan secara langsung menerusi facebook UMNO-Online, malam tadi.

Tambah Noraini, apa yang harus ditekankan adalah program ini bukan hanya untuk ahli kedua-dua parti ini tetapi adalah untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama khususnya mereka yang cintakan kedamaian dan kemakmuran.

“Kita buat program bukan untuk ahli Wanita UMNO dan PAS sahaja. Kita mengalu-alukan semua yang ingin bersama sebab perpaduan ummah ini bukan hanya untuk dua parti terbesar ini sahaja tetapi kepada semua yang sukakan kedamaian dan perpaduan… maka kami mengalu-alukan mereka ini untuk hadir,” jelas beliau.

Beliau turut mengulas berkaitan sesetengah pihak yang bimbang dengan penyatuan UMNO dan PAS ini.

Katanya, tidak ada apa yang perlu dirisaukan kerana telah terbukti tidak ada satu kaum pun yang tertindas sepanjang Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu.

“Saya sedar semua pihak menantikan perpaduan ummah ini dan dalam waktu yang sama ada yang ingin melihat betul boleh berjaya atau tidak.

“Saya nak beritahu, penyatuan ini adalah satu penyatuan yang jujur. Ada pihak yang cukup bimbang dengan penyatuan ini tapi apa yang perlu risaukan.

“Kita jangan lihat dari segi politik tetapi lihat kebaikan dari penyatuan ini. Kita memperjuangkan hak untuk rakyat,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.