Skuad Sabil Rela Berkorban Demi Agama, Bangsa Dan Tanah Air – Fazly

KUALA LUMPUR 10 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohamad Fazly Zainuddin berkata sejarah telah tercipta apabila wujudnya Skuad Sabil dari Pergerakan Pemuda UMNO.

Katanya, Skuad Sabil yang dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 25 Ogos lalu adalah untuk melahirkan generasi pemuda yang sanggup berjuang di jalan Allah, mempunyai akhlak dan disiplin yang baik serta rela berkorban mempertahankan agama, bangsa dan tanahair.

“Skuad Sabil juga merupakan pasukan paling depan, menjaga keharmonian apabila mengadakan sesuatu program mahupun membantu tatkala berlakunya bencana serta memberikan bantuan kebajikan kepada rakyat apabila diperlukan. Inilah wadah untuk Pemuda UMNO menabur bakti kepada rakyat.

“Inilah pasukan yang akan berada di barisan hadapan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan para pemimpin dan peserta dalam program himpunan rakyat malah akan segera membantu rakyat sekiranya dilanda musibah seperti kebakaran, bencana alam, kemalangan dan sebagainya.

“Inilah pasukan sukarelawan yang akan menggerakkan aktiviti kebajikan dalam masyarakat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini.

Ujarnya, melalui Skuad Sabil ini Pergerakan Pemuda UMNO berusaha melatih kader-kader baru parti dengan memberikan mereka suntikan roh perjuangan, sentuhan jiwa pengorbanan bahkan pembentukan idealisme yang kukuh membentuk jati diri pejuang-pejuang Pemuda UMNO.

Menurutnya lagi, inilah wadah yang akan dijadikan pusat pengkaderan sukarelawan parti iaitu selaras dengan perjuangan demi ABATA.

“Ini adalah badan sukarela yang bukannya diwujudkan untuk menggantikan badan-badan uniform kerajaan seperti Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia, Bomba dan sebagainya sebaliknya sebagai pasukan sokongan untuk memastikan kebajikan rakyat terbela.”

Dalam masa yang sama, katanya, penubuhan Skuad Sabil juga menjurus untuk terus kekal sebagai jentera baru parti walaupun berlaku perubahan kepimpinan nanti.

Penyertaannya untuk Skuad Sabil terbuka kepada belia berumur lebih 18 tahun, cergas mental dan fizikal serta minat aktiviti kesukarelawanan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.