PH Mahu Tutup IPG? Langkah Tidak Wajar Dan Terburu-buru


KUALA LUMPUR, 10 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Jalaluddin Alias mempertikaikan mengenai usaha kerajaan mahu menutup 21 daripada 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara secara berperingkat tahun depan.

Katanya, sekiranya benar ia akan berlaku maka adalah tidak wajar kerana sememangnya IPG perlu bagi meneruskan usaha-usaha melahirkan guru melalui latihan praperkhidmatan.

“Sepertimana yang telah diusahakan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini IPG berfungsi untuk melatih guru pengetahuan kandungan pedagogi.

“Ia diperlukan untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) demi melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat global.

“IPG juga jadi platform pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pelajaran dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) malah perkara itu sendiri digalakkan YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik sebelum ini,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Tegasnya, jika IPG ditutup dan ditukar konsepnya, bagaimana kita mahu lahirkan lebih ramai lagi guru yang terlatih dan cemerlang?

“Adakah perkara ini telah diteliti kesan jangka panjangnya? Tidakkah keputusan menutup IPG ini dianggap terburu-buru?

“Saya persoalkan kerajaan apa sebenarnya menyebabkan IPG hendak ditutup secara berperingkat. Adakah kerana kurang sambutan atau bagaimana?”

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Jelebu, sekiranya kurang sambutan dan kerajaan mengalami kemorosotan pelajar maka peranan kerajaan untuk menyebarkan maklumat mengenai kekuatan IPG.

“Ambil langkah menutup secara berperingkat tidak menyelesaikan apa-apa.

“Saya tuntut penjelasan daripada Kementerian Pendidikan dan saya membantah perkara ini sekiranya benar laporan sebuah akhbar tersebut,” katanya yang juga Ketua Bahagian UMNO Jelebu – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.