PH Ajar Pengikut Lawan Pihak Berkuasa? Soal Dr Kamarul


KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pemerhati Politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff membidas pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutama dari Dap dan PKR yang bertindak seolah-olah mengajar pengikut-pengikut mereka agar melawan pihak berkuasa.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Kamarul mengulas mengenai tindakan pemimpin Dap dan PKR yang mempertikaikan peranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung isu beberapa pemimpin PH dengan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik.

“Pemimpin Dap, Ronnie Liu Tian Khiew, secara tidak langsung menggesa M Kula Segaran, Dr P Ramasamy, Charles Santiago, Satees Muniandy dan Dennis Ignatius supaya jangan bekerjasama dengan pihak polis dalam siasatan ke atas laporan polis yang dibuat oleh Dr Zakir Naik ke atas mereka.

“Aktivis PKR, Kim Quek, pula mendesak Ketua Polis Negara menjelaskan mengapa beliau membenarkan pihak polis dipergunakan oleh seorang pelarian asing untuk mengacau-ganggu wakil-wakil rakyat dan mendakwa bukan tugas polis untuk menyiasat wakil-wakil rakyat itu,” ujarnya.

Menurut PDRM, kelima-lima individu terbabit akan dipanggil bagi membantu siasatan susulan laporan polis yang dibuat penceramah bebas, Dr Zakir Naik atas tuduhan memfitnahnya.

Mereka ialah Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan bekas duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis J Ignatius.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, sebelum ini pihaknya telah membuat makluman untuk memanggil individu-individu terbabit, namun mereka masih belum tampil.

Justeru kata Dr Kamarul, sebagai pemimpin parti kerajaan, mereka perlulah menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dan bukan menjadi ‘batu api’.

“Anda sebagai pemimpin perlulah hormati pihak polis kerana jika anda tunjukkan sikap melawan pihak polis maka pastilah pengikut-pengikut anda yang berada di bawah akan lebih tidak hormat lagi,” tegasnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.