Keahlian Pemuda Bertambah, Perkembangan Positif Sokongan Terhadap UMNO


KUALA LUMPUR, 10 Sept – Pemuda UMNO mencatatkan pertambahan keahlian yang cukup membanggakan apabila menerima 1,704 ahli baru dalam masa sebulan yang lalu dan perkembangan tersebut menunjukkan minat orang muda terhadap parti makin meningkat, demikian menurut ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau pertambahan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan ahli pergerakan itu sehingga ke hari ini berjumlah 476,962 orang dan kempen akan terus digiatkan dari semasa ke semasa dalam usaha menambah lagi keahlian Pemuda UMNO.

“Daripada pertengahan bulan lapan sehingga 10 September penambahan keahlian Pemuda sebanyak 1,704 orang menjadikan keahlian Pemuda meningkat kepada 476,962 orang. Kita menyaksikan penambahan setiap bulan ini amat memberansangkan dan ini memperlihatkan perkembangan yang positif dikalangan anak muda yang mahu terlibat secara langsung dan aktif bersama-sama dengan UMNO dan pergerakan itu sendiri.

“Tambahan pula kita baru sahaja memperkenalkan skuad beruniform buat pertama kali dalam parti di bawah Pemuda UMNO. Skuad ini mempunyai fokus atau matlamat membina nilai kesukarelawanan di kalangan ahli-ahli Pemuda dan generasi muda untuk sama-sama menyumbang khidmat bakti dalam pelbagai program terutama kebajikan, kemasyarakatan dan program sosial yang akan dilaksanakan daripada semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum itu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO, di sini, hari ini.

Asyraf seterusnya menambah, pergerakan itu akan melatih tidak kurang 2,100 ahli Skaud Sabil dan selepas itu akan turun ke setiap bahagian untuk diwujudkan Skuad Sabil dibahagian masing-masing.

“Skuad ini juga akan memastikan kelancaran dan juga keselamatan setiap program parti dan paling penting sekali menanam jati diri UMNO yang berteraskan ideologi UMNO itu sendiri, yang berteraskan Islam yang moderate sifat atau nilai kebangsaan, yang tidak sesekali kita menafikan kepelbagaian dan realiti kemajmukan dalam konteks negara kita,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama beliau turut memaklumkan skuad berkenaan akan bekerjasama dengan Jabatan Amal PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU), Jumaat dan Sabtu ini untuk mengawal dan juga memastikan kelancaran HPU nanti.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.