#HPU914: Ke Arah Penyatuan Yang Lebih Baik Demi Masa Depan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Kerjasama UMNO dan PAS ini sudah amat lama dinantikan oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia kerana ia memberi hikmah ke arah penyatuan dua parti bangsa Melayu Islam yang terbesar di Malaysia, kata Penolong Bendahari Pemuda UMNO, Johari Yazid.

Katanya, penyatuan ini bakal memberi sinar dan harapan buat Malaysia bahawa dua parti politik besar bersama dalam rangka kerja penyatuan yang serius bagi mengembalikan negara ke arah yang lebih sejahtera.

“Penyatuan ini pada pandangan saya adalah satu manifestasi sejak sekian lama yang dinantikan oleh rakyat kerana penyatuan ini akan memberi lembaran baru kepada landskap politik Malaysia.

“Kelemahan dan kekurangan sebelum ini akan diperbetulkan dan dengan penyatuan ini saya yakin akan memberikan impak yang cukup hebat kepada keharmonian negara,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Katanya, penyatuan ini juga menjadi bukti bahawa kepentingan rakyat diutamakan tanpa menidakkan semua bangsa yang akan terus dijaga dengan sebaik mungkin.

“Rakyat menginginkan kembali sebuah negara yang hidup dalam keadaan aman dan sejahtera seperti dahulu.”

Tambah beliau, walaupun ada suara-suara sumbang yang mahukan penyatuan ini gagal, yakin dan percayalah Allah SWT meredhai dan merahmati penyatuan ini yang seterusnya akan menjadi jalan penyuluh ke arah lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

“Kita juga dapat lihat bahawa kesemua parti komponen Barisan Nasional (BN) terutamanya MCA dan MIC juga menyokong penuh yakin penyatuan ini.

“Datanglah beramai-ramai pada 13 dan 14 September ini untuk meraikan sejarah yang bakal tercipta antara dua parti terbesar Melayu dan Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) minggu hadapan.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.