Ambil Perhatian Serius Peringatan Agong
KANGAR 10 Sept. – Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan seluruh rakyat Malaysia tidak memperalatkan isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak adalah tepat dengan situasi semasa dan perlu diberikan perhatian serius.
Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad berkata, sememangnya benar, sejak akhir-akhir ini terdapat kumpulan tidak bertanggungjawab telah menaikkan kemarahan rakyat dengan memainkan pelbagai isu sensitif khususnya berkaitan agama.
Jelas beliau, antaranya seperti isu tulisan Jawi dan tindakan pihak tertentu berterusan mendesak agar pendakwan antarabangsa, Dr. Zakir Naik diusir keluar dari negara ini yang secara tidak langsung menyebabkan orang Islam merasa cukup terkilan serta kecewa.
“Pelbagai lagi isu sensitif dibangkitkan dan penghinaan terhadap agama Islam. Berikutan itu, masyarakat Melayu Islam pula bangkit mempertahankan hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Sultan Abdullah bertitah, mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak memperalatkan isu-isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak.
Titah Seri Paduka, setiap rakyat dijanjikan hak serta kebebasan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan tersebut mestilah tidak melangkaui nilai-nilai yang menjadi asas perpaduan negara.
Sementara itu, Nawawi berkata, semua pihak yang memainkan isu sensitif itu perlu membuka mata dan mengambil nasihat Seri Paduka sebagai panduan agar tidak lagi melakukan tindakan sama pada masa depan.
“Kita hidup dalam negara yang masyarakatnya pelbagai kaum dan semua pihak perlu saling hormat-menghormati khususnya orang Melayu sebagai penduduk majoriti,” katanya. – UTUSAN ONLINE