Adinda Asyraf Kirim Warkah Dari PWTC (Bukan Cordova)… Kenapa Kekanda Mujahid Takut Piagam UMNO-PAS?

KUALA LUMPUR, 10 Sept – Belum tahu isi kandungan Piagam UMNO-PAS tetapi Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa sudah membuat fitnah, tegas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mujahid juga jelas meluahkan perasaan yang amat takut kepada agenda penyatuan ummah, katanya lagi.

“Kekanda menyebut pada 14 September ini kita menantikan survival PAS dan UMNO kerana dua parti ini akan menandatangani piagam yang akan menjelaskan kepada seluruh rakyat tentang hala tuju gabungan ini.

“Jadi Kekanda sebenarnya mengakulah yang sehingga hari ini piagam ini belum wujud dan belum diketahui isi kandungannya. Cuba Kekanda jelaskan bagaimana Kekanda boleh menyebut piagam ini “piagam yang meragam” sedangkan Kekanda sendiri belum tahu walau sedikit pun isi kandungannya?

“Kekanda menyebut Piagam UMNO-PAS tidak bertujuan untuk membela ummah ataupun membela Islam tetapi hanya taktik politik yang tidak dipandu dengan prinsip yang jelas tetapi untuk survival politik semata-mata. Cuba Kekanda jelaskan mengapa Kekanda terlalu amat takut dengan piagam ini sehingga awal-awal lagi Kekanda sudah berani memfitnah bahawa piagam ini tidak bertujuan untuk membela ummah ataupun membela Islam sedangkan Kekanda sendiri belum tahu walau sedikit pun isi kandungannya? Soalnya dalam satu warkah buat Mujahid di Facebook.

Demikian adalah daripada persoalan-persoalan yang ditimbulkan dalam warkah Dr Asyraf kepada Mujahid, yang sinonim dengan gelaran Kekanda gara-gara warkahnya suatu ketika dahulu kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

BERIKUT MERUPAKAN WARKAH PENUH DARIPADA DR ASYRAF KEPADA MUJAHID

KEHADAPAN Kekandaku YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa yang dihormati. Moga sentiasa ceria dan sihat hendaknya.

Terima kasih atas warkah panjang lebar Kekanda bertajuk “PIAGAM YANG MERAGAM” bertarikh 8 September 2019, yang mengupas mengenai Piagam yang bakal dimeterai oleh UMNO dan PAS pada 14 September ini.

Begitu teruja Adinda membacanya, bukan sangat mengenai isi kandungannya tetapi kesungguhan Kekanda menulis warkah sepanjang itu di tengah-tengah kesibukan Kekanda sebagai Menteri Agama.

Seingat Adinda ini kali kedua Adinda membaca warkah panjang daripada Kekanda selepas kehangatan Warkah dari Cordova yang Kekanda tulis buat Adinda Nurul Izzah satu ketika dulu!

Izinkan Adinda menimbulkan 6 persoalan yang perlukan jawapan tuntas daripada Kekanda mengenai warkah Kekanda tersebut:

1. Kekanda menyebut pada 14 September ini kita menantikan survival PAS dan UMNO kerana dua parti ini akan menandatangani piagam yang akan menjelaskan kepada seluruh rakyat tentang hala tuju gabungan ini.

Jadi Kekanda sebenarnya mengakulah yang sehingga hari ini piagam ini belum wujud dan belum diketahui isi kandungannya. Cuba Kekanda jelaskan bagaimana Kekanda boleh menyebut piagam ini “PIAGAM yang MERAGAM” sedangkan Kekanda sendiri belum tahu walau sedikit pun isi kandungannya?

2. Kekanda menyebut Piagam UMNO-PAS tidak bertujuan untuk membela ummah ataupun membela Islam tetapi hanya taktik politik yang tidak dipandu dengan prinsip yang jelas tetapi untuk survival politik semata-mata.

Cuba Kekanda jelaskan mengapa Kekanda terlalu amat takut dengan piagam ini sehingga awal-awal lagi Kekanda sudah berani memfitnah bahawa piagam ini tidak bertujuan untuk membela ummah ataupun membela Islam sedangkan Kekanda sendiri belum tahu walau sedikit pun isi kandungannya?

3. Kekanda nampaknya bersungguh benar cuba melaga-lagakan PAS-UMNO dengan menimbulkan persoalan apakah UMNO sudah menarik balik kenyataan PAS adalah Parti Ajaran Sesat sebelum berpiagam.

Cuba Kekanda jelaskan siapakah yang menjadi juara menuduh PAS sebagai Parti Ajaran Sesat ini, apakah ia Presiden UMNO sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, ataukah Presiden Bersatu sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilaporkan meluas berkata begitu di Lembah Pantai pada 6 April 2013?

4. Kekanda nampaknya bersungguh benar cuba menimbulkan keraguan UMNO ke atas PAS dengan menyatakan harapan agar PAS tidak tinggalkan kawan sekerat jalan lagi kerana PAS kononnya pernah menerokai ‘Tahaluf Siyasi’ bersama Pakatan Rakyat ‘sekerat jalan’.

Cuba Kekanda ingati betul-betul siapakah yang sebenarnya tinggalkan kawan sekerat jalan bersama Pakatan Rakyat, tidakkah Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng, yang pertama sekali mengumumkan Pakatan Rakyat sudah mati pada 15 Jun 2015?

5. Kekanda menyebut Piagam UMNO-PAS bagi menunjukkan bahawa parti yang mendominasi Piagam UMNO-PAS ialah UMNO dan Kekanda menyebut Dap-PKR-Amanah diikuti oleh Bersatu kemudiannya membentuk Pakatan Harapan (PH).

Jadi Kekanda mengakulah bahawa parti yang mendominasi PH ialah Dap? Cuba Kekanda jelaskan bagaimana PH yang didominasi oleh parti sekular tegar seperti Dap boleh diharap untuk menjaga kepentingan Melayu Islam?

6. Kekanda menyebut PH menang kerana hasrat memerangi rasuah, mereformasikan secara keinstitusian bidang parlimen, perundangan dan kehakiman serta kebebasan bersuara dan media. Jadi Kekanda mengakulah yang hasrat menjaga kepentingan Melayu Islam bukan punca PH menang.

Cuba Kekanda jelaskan bagaimana PH yang tidak menang atas hasrat menjaga kepentingan Melayu Islam boleh diharap untuk menjaga kepentingan Melayu Islam?

Cukuplah Adinda meninggalkan enam persoalan ini untuk dijawab oleh Kekanda. Moga-moga Kekanda akan lebih tenang selepas 14 September ini.

Ikhlas,

DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

10 September 2019

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.