Walaupun Bergelora Dan Badai, UMNO-PAS Akan Terus Bersatu Demi Perjuangan– Ab Rauf

HANG TUAH JAYA 9 Sept –  Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata penyatuan ummah antara UMNO dan PAS adalah titik permulaan kebangkitan Melayu dan Islam dinegara ini.

Katanya, detik bersejarah ini akan dimeteraikan pada 14 September yang merupakan penyatuan dua parti Melayu terbesar untuk melakarkan sejarah baru dalam politik Malaysia.

“Memang banyak gelora dan badan tetapi UMNO dan PAS akan sampai ke tujuan untuk metrai piagam bersama.

“Ingat… dan muhasabah wahai muslimin dan muslimat bahawa kita sedang dalam perjuangan bangsa… marilah kita beramai-ramai ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kita tinggalkan kerja kita, bawa keluarga beramai-ramai dan naikkan obor perjuangan demi perpaduan ummah bangsa dan negara.

“Kita bersepakat menentukan perjanjian dan hala politik pada 14 September ini dan kita yakin dengan penyatuan ummah ini kita akan kembali menjadi kuat dan hebat demi bangsa dan agama,” katanya semasa Ceramah Penyatuan Ummah peringkat negeri Melaka, pada hari ini, di sini.

Katanya, atas semangat dan perjuangan bersama, UMNO dan PAS akan membuka tirai politik baru untuk kembali menang melayarkan bahtera perjuangan walaupun bergelora dan badai akan terus sampai ke garisan Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Dalam perkembangan tersebut, beliau maklum bahawa PH sangat risau dan gusar apabila UMNO dan PAS bersatu.

“Kerajaan PH buat masalah lagi macam-macam tak putus-putus, rakyat yang tak senang…. orang kata kalau pangkal busuk hujung mesti busuk seperti PH yang dulu berbohong hingga jadi kerajaan pun nak berbohong. Cukuplah kita kena bohong tak mungkin berulang  kali kedua.”

Beliau turut membacakan serangkap pantun:

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang ditapak tangan;
PAS dan UMNO telah bersatu,
Azamkan di hati bersama dalam perjuangan.– UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.