Daripada Kecam Rakyat Pemalas, Lebih Baik Tun M Baiki Prestasi Jemaah Menterinya – Subash

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Setiausaha Penerangan MIC Pusat, Subash Chandrabose membidas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengecam rakyat sebagai pemalas.

Tegasnya, daripada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berterusan mengutuk rakyatnya, adalah lebih baik jika Tun Mahathir membaiki ekonomi negara yang semakin teruk di bawah PH hasil fitnah mereka sendiri.

“Tun! Cukup! Jangan kecam abang-abang dan adik-adik saya sebagai pemalas. Siang malam mereka bekerja keras untuk cari nafkah. Sakit hati saya bila mendengar!

“Tun! Daripada mengutuk rakyat sendiri, apakata baiki ekonomi negara yang kini ditahap kritikal disebabkan oleh fitnah parti anda sendiri,” katanya dalam satu status di Facebook.

Tambah Subash, perdana menteri juga perlu memperbaiki prestasi jemaah menterinya yang sangat tidak berkebolehan.

“Baiki jemaah menteri anda. Menteri Kewangan (Lim Guan Eng) anda menghalau pelabur-pelabur asing.

“Baiki Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) yang membebankan rakyat dengan idea-idea tidak berkenaan dengan sistem Pendidikan negara.

“Baiki Menteri Pelancongan (Datuk Mohammadin Ketapi) yang tak reti pasal negara sendiri. Baiki Menteri Perpaduan (Waytha Moorthy) yang mempromosikan perpecahan sesama kaum,” ujarnya.

Begitu juga Subash mendesak perdana menteri memperbaiki prestasi Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang kini membawa peluang pekerjaan yang tidak diingini oleh rakyat serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang suka masuk campur dalam semua hal kementerian lain.

Justeru, Subash menimbulkan persoalan buat PH yang jelas gagal menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Menteri-menteri Tun (Mahathir) semua bergaji tinggi. Duduk rumah mewah. Kereta besar! Anak-anak semua dapat kontrak besar! Mana kenal keperitan hidup rakyat biasa?

“Jangan main sentimen perkauman untuk publisiti politik kotor anda. Saya tidak akan diam melihat saudara saya dimalukan,” tegasnya lagi sambil meninggalkan tanda pagar #wajibUBAH merujuk kepada kerajaan PH yang mesti dikalahkan pada pilihan raya umum akan datang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.