Mohon Campur Tangan, NGO Serah Laporan Forensik Video Semburit Kepada Sultan Selangor

SHAH ALAM, 6 Sept – Pertubuhan BANGKIT dan Gabungan Gerak Padu Selangor hari ini menyerahkan laporan forensik ke atas video seks luar tabii yang dikatakan melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali kepada Sultan Selangor Sultan Sharafudin Idris Shah.

Presiden BANGKIT Shahrin Azlan berkata, tujuan laporan tersebut diserahkan kepada Sultan Selangor adalah memohon agar Sultan dapat menasihati untuk melucutkan Azmin daripada barisan kabinet memandangkan Azmin adalah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di Selangor.

“Rakyat khususnya di Selangor kecewa dan terkilan kerana tiada sebarang tindakan daripada Perdana Menteri walaupun laporan forensik ini telah diserahkan ke Pejabat Perdana Menteri minggu lalu.

“Perkara ini bukan main-main… ini berkaitan integriti negara, integriti seorang wakil rakyat… ia amat memalukan dan mengecewakan.

“Adakah Perdana Menteri membutakan mata dan memekakkan telinga berkaitan perkara ini? Cukup-cukuplah… tindakan mengeluarkan Azmin dari barisan kabinet harus diambil segera kerana negara luar sedang mempersendakan kita berkaitan isu ini,” ujar beliau kepada media selepas menyerahkan laporan tersebut kepada Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Munir Bani di hadapan Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.

Selain itu Shahrin turut menyelar Peguam Negara yang sehingga hari ini masih gagal mengambil tindakan terhadap Azmin dan membawa kes ini ke mahkamah.

“Hari ini Peguam Negara sudah menerima surat dari Bukit Aman tapi masih tidak ada tindakan. Peguam Negara perlu ambil tindakan dan perlu adil.

“Adakah Peguam Negara takut untuk ambil tindakan? Inikah kerajaan baru yang dikatakan bersih tetapi mengamalkan ‘rule of jungle’?” bidas beliau.

Untuk rekod, badan NGO ini telah menyerahkan laporan forensik ini buat pertama kalinya kepada Pejabat Perdana Menteri minggu lalu dan kepada Duli Yang Maha Mulia Agong dua hari lalu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.