Mengapa Begitu Sensitif… Howard Lee Ditegur Guna Sirah Nabi, Mana Suara Dap Islam?

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Semalam, Howard Lee iaitu Ketua DAPSY Kebangsaan mengeluarkan satu kenyataan mendesak UMNO dan PAS menyatakan pendirian sama ada menyokong atau membantah kempen membeli produk bumiputera.

Sehubungan itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris melihat tindakan tersebut seperti biasa, Dap akan mempolitikkan segala benda dengan mengatakan kempen ini adalah ‘boikot’ yang akan memecahbelahkan masyarakat Malaysia.

Selain itu, katanya, Howard Lee juga menggunakan contoh sirah Nabi Muhammad SAW dalam kenyataannya untuk kepentingan politik.

“Nasihat saya kepada Dap, jangan menggunakan elemen agama Islam dalam kenyataan atau tindakan politik kerana akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ujarnya, kepada pimpinan Dap, henti menyalahkan UMNO, PAS serta masyarakat terhadap perkara yang berlaku pada hari ini kerana pepecahan terjadi di Malaysia adalah berpunca daripada parti Dap itu sendiri yang bersifat cauvenis, rasis serta radikal.

“Walhal ia bukan boikot tetapi mengutamakan produk Muslim yang akan mewujudkan persaingan sihat dan membantu usahawan bumiputera yang menjadi majoriti di negara ini.

“Pada masa sama, membeli adalah hak mutlak pengguna dan mereka bebas untuk memilih barangan di pasaran. Mengapakah Dap begitu sensitif mengenai perkara yang melibatkan Muslim?”

Soal beliau lagi, di manakah suara ahli Dap yang berbangsa Melayu dan agama Islam seperti Sheikh Umar Bagharib Ali (Ketua DAPSY Johor)?

“Bukankah mengutamakan produk Muslim adalah salah satu cara membantu saudara sesama agama?” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.