#HPU914: ‘Pentas Anak Muda’ Ruang Terbaik Golongan Remaja Dekati Puteri UMNO Dan Ameerah PAS


KUALA LUMPUR, 6 Sept – Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) yang bakal berlangsung bermula 13-14 Sept nanti menyediakan ruang dan peluang terbaik kepada golongan muda untuk mendekati Puteri UMNO dan Ameerah PAS.

Penolong Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Asuma Beevi Mohamed Sali berkata, Puteri UMNO dan Ameerah PAS sepakat menganjurkan ‘Pentas Anak Muda’ sebagai ruang untuk orang ramai khususnya golongan remaja mendekati dan mengetahui lebih lanjut tentang kedua-dua pergerakan terbabit.

“Pentas Anak Muda ini diisi dengan program santai seperti persembahan seni mempertahankan diri, persembahan nasyid, persembahan fesyen dan tutorial memakai shawl namun yang lebih istimewa ialah acara sembang santai bersama Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan dan YB Zuraida Md Noor,” katanya kepada UMNO-Online.

Ujar beliau, program ‘Pentas Anak Muda’ ini akan berlangsung pada 13 Sept di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, jam 11.00 pagi.

“Dalam program ini juga ada pertandingan kraftangan yang acara penyampaian hadiahnya akan diadakan pada penhujung program serta ditutup dengan tanyangan montaj sebelum bersurai.

“Kita menjemput orang ramai khususnya golongan muda untuk bersama-sama memeriahkan acara ini kerana program ini akan memperkenalkan Puteri UMNO dan Ameerah PAS secara dekat dan bukannya politik semata-mata,” katanya lagi.

Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS akan berlangsung selama dua hari dengan acara kemuncaknya melibatkan acara menandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan.

Sebelum itu kedua-dua presiden parti akan berucap termasuk Setiausaha Agung UMNO dan PAS yang akan membuka ucapan alu-aluan dan seterusnya ke acara tandatangan piagam serta pemasyhuran piagam berkenaan. – UMNO-ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.