UMNO Tidak Setuju SPR Ambil Alih Tugas ROS – Mohamad

SEREMBAN, 5 Sept – UMNO tidak bersetuju dengan cadangan pengambilalihan pendaftaran dan kawal selia parti politik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti politik seharusnya kekal dibawah kawal selia ROS dan bukannya SPR yang menurutnya akan menjejaskan konsep demokrasi yang diamalkan negara.

“Kalau SPR sebagai pengadil kepada pilihan raya dan SPR juga mengawal parti politik, tidak bolehlah. Bagi saya sekiranya mahu jadi pengadil jadilah pengadil dan jika mahu jadi pemain, jadilah pemain. Kita di negara yang mengamalkan demokrasi, pemisahan kuasa mesti ada.

“Kita mesti berpegang kepada konsep pemisahan kuasa kerana itulah demokrasi. Itulah dia punca demokrasi iaitu pengasingan kuasa. Jadi sekarang pengasingan kuasa itu perlu ada.

“SPR ialah orang yang menguruskan pilihan raya, yang jadi pemain ialah parti politik dan yang menguruskan parti politik ialah ROS. Saya rasa tak ada keperluan cadangan tersebut,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pengambilalihan pendaftaran dan kawal selia parti politik oleh SPR daripada ROS, yang dicadangkan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Semalam, Pengerusi ERC Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dilapor sebagai berkata laporan lengkap berhubung cadangan itu dijangka siap akhir tahun ini dan akan mengemukakannya secara rasmi kepada kerajaan selepas laporan lengkap cadangan itu siap. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.