Tiada Maklumat Hishammuddin Disiasat Lembaga Disiplin – Mohamad

SEREMBAN 5 Sept. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya tidak dimaklumkan mengenai sebarang siasatan oleh Lembaga Disiplin parti itu terhadap bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas dakwaan salah laku.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO berkata, secara lazimnya lembaga itu akan merujuk kepada jawatankuasa tersebut sekiranya terdapat prima facie dalam sesuatu kes yang disiasat untuk diteliti sebelum dibawa kepada Majlis Tertinggi (MT).

“Setakat ini tiada apa-apa rujukan dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO. Apa yang dihebohkan itu boleh jadi ada orang buat tuduhan dan buat aduan.

“Lembaga Disiplin UMNO terima apa saja aduan dan menyiasat, ia bebas dan tidak menjawab kepada sesiapa. Kalau tidak ada kes, tak adalah. Kalau ada, akan rujuk kepada parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras UMNO-Pas Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha.

Mohamad mengulas laporan media baru-baru ini bahawa Hishammuddin sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin UMNO atas dakwaan salah laku yang dikatakan ada kaitan dengan pertemuannya dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohamad mempersoalkan kewajaran lembaga tersebut mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung siasatan yang dijalankan terhadap ahli UMNO.

“Lembaga Disiplin tak perlu keluarkan kenyataan, siasat saja. Saya tak tahu siapa, boleh jadi bukan orang dalam Lembaga Disiplin yang buat kenyataan, mungkin ada orang lain yang pecahkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, UMNO akan melakukan pindaan perlembagaan dalam Perhimpunan Agung pada November depan bagi membolehkan semua negeri mewujudkan Lembaga Disiplin masing-masing secara tetap.

“Terlalu banyak kes, bertimbun-timbun dirujuk kepada Lembaga Disiplin pusat, kita hendak beri kuasa kepada negeri untuk jalankan siasatan dan mengurangkan beban kerja ditanggung di peringkat ibu pejabat. Tetapi kuasa masih di peringkat MT.

“Pada masa sekarang cuma ada lembaga tersebut di peringkat negeri secara ad-hoc. Kadang-kadang siasatan kes tidak selesai dalam masa setahun atau dua tahun terutama selepas pemilihan, banyak aduan daripada akar umbi dan cawangan yang tak puas hati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.