Taa’wun UMNO-PAS Tidak Hanya Tumpu Kepada Dua Parti, Ruang Lingkup Menyeluruh – Annuar

POKOK SENA, 5 Sept – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan Taa’wun antara parti itu dan PAS tidak hanya tertumpu untuk dua parti berkenaan sebaliknya akan terus disemarakkan untuk kepentingan seluruh rakyat dan negara.

Menurut beliau kerjasama tersebut bukanlah strategi politik semata-mata malah jauh lebih daripada itu serta meluas dan 14 September ini merupakan hari paling bersejarah yang mana ianya satu permulaan baru.

“14 September ini hanya merupakan satu permulaan baru cuma dipelopori, ditaja dan dimulakan oleh UMNO dan PAS tetapi bukannya untuk kedua-dua parti berkenaan semata-mata. Selepas 14 September nanti kita bertanggungjawab untuk menyemarakkan roh daripada Taa’wun itu iaitu untuk mengembalikan penyatuan ummah dan kembali kepada hasrat serta cita-cita sebagai hasrat perjuangan selari dengan apa yang diperintah Allah SWT.

“Kerjasama ini bukan hanya semata-mata satu strategi politik tetapi ianya dalam kerangka tanggungjawab yang sangat besar apatah lagi apabila kita melihat keadaan dalam negara kita tidak sepertimana yang kita impikan dan tidak juga sepertimana yang kita sama-sama bina dahulu.

“Tidak ada sebab bagi orang Islam selain daripada UMNO dan PAS merasa takut dengan soal Taa’wun ini kerana yang akan datang dan terhasil daripada muafakat dan kerjasama ini tidak lain dan tidak bukan adalah kebaikan bagi agama dan yakin serta percayalah apabila Islam itu ditegakkan kenikmatannya, kemanisannya, keelokannya, hasil ‘benefit’ akan dirasai bukan hanya umat Islam tetapi seluruh umat yang ada dalam negara kita ini,” katanya di sini, Rabu malam.

Beliau berkata demikian ketika berceramah sempena Himpunan Penyatuan Ummah peringkat negeri Kedah yang diadakan di Padang Kompleks Muassasah Darul Ulum Pokok Sena.

Tambahnya, ratusan tahun Islam bertapak di Sepanyol, sebuah negara yang dipenuhi penduduk Kristian dan penduduk Yahudi, Islam tidak pernah menganiayai dan menzalimi orang bukan Islam di negara terbabit malah penegasan Islam itu sendiri adalah untuk melindungi saudara-saudara yang bukan Islam.

“Sekarang ini ada ‘ritual’ dalam kerajaan yang mempolitikkan UMNO dan PAS sebagai untuk mencetuskan perkauman. Politik UMNO dan PAS ‘Race, Religion and Royal’ dan ini kononnya toksik bagi politik dalam negara kita.

“Beritahu kepada mereka… selagi Islam menjadi pegangan kita, kita ada garis panduan yang jelas bahawa kita tidak ada sedikitpun sentimen rasis. Permuafakatan UMNO dan PAS tidak ada dalam agenda Taa’wun itu untuk menzalimi sesiapa.

“Kita hanya membela hak apa-apa yang terkandung di dalam Perlembagaan malah Taa’wun UMNO dan PAS mengikrarkan bahwasanya kita akan turut melindungi setiap rakyat dalam negara kita tanpa mengira kaum mahu pun agama. Hendaklah kita memahami Taa’wun ini adalah milik kita bersama,” ujarnya lahi.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.