Persiapan Lancar, Lebih 10,000 Bakal Berhimpun Jayakan #HPU914

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Persiapan Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914) yang bakal berlangsung bermula 13-14 Sept nanti lancar.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, secara keseluruhan lebih 70 peratus persediaan telahpun selesai dan beberapa perkara lagi sedang dalam pelaksanaan yang akan siap sepenuhnya pada tarikh berkenaan.

“Setakat ini persiapan yang kita jalankan lancar… semua pihak memainkan peranan yang sangat penting dan melakukan kerja-kerja dengan baik,” katanya kepada UMNO-Online.

Katanya, persiapan bagi memastikan acara himpunan tersebut berlangsung lancar dibuat dengan membabitkan kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku urus setia bersama dengan PAS.

Dijangka lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 dan 14 September depan sempena Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS.

Pengisian program bermula dengan zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri UMNO dan Ameerah PAS pada sebelah pagi.

Selepas solat Jumaat pula akan diadakan solat hajat dan kemudiannya disusuli ‘Wacana Intelektual Penyatuan Ummah’ anjuran Penerangan UMNO selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

Menyusul pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC yang menampilkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

Hari berikutnya iaitu 14 September adalah hari kemuncak melibatkan acara menandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan.

Sebelum itu kedua-dua presiden parti akan berucap termasuk Setiausaha Agung UMNO dan PAS yang akan membuka ucapan alu-aluan dan seterusnya ke acara tandatangan piagam serta pemasyhuran piagam berkenaan. – UMNO-ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.