Jelajah Pemuda Ke Akar Umbi Dapat Maklum Balas Positif – Asyraf

POKOK SENA, 5 Sept – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi melihat jelajah ke akar umbi pergerakan itu bersama pimpinan pemuda dan masyarakat setempat mendapat maklum balas yang cukup baik.

Menurut beliau pengukuhan pergerakan itu dilaksanakan menerusi pelbagai langkah tersendiri dan salah satunya menerusi program tersebut yang bergerak ke akar umbi bersama pimpinan dan masyarakat setempat.

“Pengukuhan selama setahun tiga bulan pergerakan Pemuda dan kita antara yang bergerak awal untuk memastikan akar umbi kita sentiasa kuat dan sentiasa mempunyai semangat untuk bangkit kembali.

“Tindak balas setakat ini cukup baik dan sebab itulah pada peringkat awal UMNO ada di kalangan pemimpin yang tidak yakin… ada yang lompat serta ada yang keluar parti.

“Saya selalu tekan kepada pimpinan, akar umbi kita masih kuat kerana itulah Pemuda sejak daripada awal lagi mula turun ke bahagian-bahagian kerana dalam keadaan kita menjadi pembangkang buat pertama kali kalah, kita perlu untuk memastikan akar umbi kuat,” katanya.

Terdahulu sebelum itu beliau mengadakan perlawanan bola sepak bersama pemuda setempat di Pokok Sena dan program ziarah kasih serta program bersama masyarakat setempat lain.

Tambah Asyraf akar umbi mengharapkan hala tuju dan ‘direction’ daripada kepimpinan dan apabila program seumpama itu dilaksanakan ianya memang memberi kesan dan maklum balas yang positif.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau seterusnya menambah program jelajah pergerakan itu antara lain menjalankan riadah yang mengambil semangat penyatuan ummah melibatkan Pemuda UMNO dan juga Pemuda PAS serta belia–belia yang tidak berparti.

“Ini sebagai salah satu cara untuk kita mengeratkan hubungan dan kita dapat mendekatkan diri dengan generasi anak-anak mdua di peringkat akar umbi selain daripada mengukuhkan pergerakan Pemuda di peringkat bahagian-bahagian,” ujarnya.

Katanya, sebanyak 126 bahagian telah dikunjungi dengan konsep ziarah kasih iaitu turun ke rumah-rumah bekas pemimpin khususnya yang uzur, mengunjungi mereka yang tidak sihat dan pelbagai program bersama masyarakat serta program-program kerohanian termasuklah ceramah-ceramah diadakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.