Piagam UMNO PAS: PH Takut Kekuatan Penyatuan Ummah

KERDAU, 4 Sept – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyanggah pandangan pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mengatakan piagam UMNO PAS tidak lebih semata-mata kerana politik.

Bahkan bidas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang itu ia adalah kebimbangan mereka dan cakap-cakap yang tidak membawa kesan kepada keutuhan muafakat sama seperti tuduhan kerjasama UMNO PAS mewujudkan negara taliban.

“Kita telah buktikan bahawa hubungan UMNO dengan PAS ini bukan sahaja kita cakap.

“Di Pahang ini kita telah buat Himpunan Perpaduan Ummah di Kuantan dan PAS sendiri telah pilih negeri Pahang untuk muktamar peringkat kebangsaan.

“Kemudian himpunan tiga menteri besar dari pantai timur daripada PAS dan UMNO, kita telah buktikan. Kemudian diikuti dengan piagam ini seterusnya akan diikuti negeri-negeri,” jelasnya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam sidang media selepas program ceramah Penyatuan Ummah peringkat negeri Pahang di Dewan Seri Ketumbit, di sini malam tadi.

Selain beliau, ceramah tersebut turut menampilkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabbar.

Manakala dalam sidang media yang sama Tuan Ibrahim berpendapat kata-kata negatif dari pemimpin kerajaan PH itu adalah gambaran ketakutan mereka terhadap keutuhan permuafakatan UMNO PAS.

“Itu adalah gambaran ketakutan dia terhadap muafakat UMNO bersama PAS.

“Ini untuk kestabilan politik, untuk menyatukan kaum. Muafakat UMNO PAS bukan untuk menghuru-harakan negara tapi menstabilkan negara. 60 tahun Barisan Nasional (BN) perintah tiada isu (kaum) pun, PAS 30 tahun di Kelantan tiada isu kaum.

“Bayangkan dua-dua parti yang tiada isu kaum bergabung…lagi tiada isu,” ujarnya.

Mengenai penerimaan akar umbi, kedua-dua parti mampu menguruskannya dengan baik, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi.

“Sekarang inipun kita sudah turun ke daerah-daerah, kawasan-kawasan, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan kita berjaya menyelesaikan perkara yang dikhuatiri.

“Dan saya sebut tadi (dalam ceramahnya) ada pihak yang cucuk supaya muafakat ini tidak berjaya tapi insyaAllah dengan kita turun bersama di peringkat cawangan, bahagian dan kawasan berjaya menyelesaikan perkara yang kurang jelas di kalangan ahli,” tambahnya.

Mengulas lanjut Wan Rosdy menambah, Piagam UMNO PAS yang akan dimeterai adalah untuk memperkemaskan lagi hubungan dan permuafakatan antara kedua-dua parti.

“Kita perkemaskan lagi tanpa mengabaikan pihak-pihak lain.

“Ini menunjukkan kita serius dalam hubungan (kerjasama) bukan setakat cakap retorik,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, muafakat yang diwujudkan adalah penyatuan ummah tanpa mengabaikan mana-mana pihak dan kaum.

“UMNO mewakili BN dan PAS Gagasan Sejahtera. Dalam BN ada parti-parti komponen yang lain seperti MIC, MCA dan dalam PAS pun ada Dewan Himpunan Penyokong yang bukan dari kalangan bukan Islam.

“Jadi muafakat ini bukan mengabaikan bukan Melayu, akan merangkumi termasuk Sabah dan Sarawak,” jelasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.