Kerajaan Pimpinan PH Kini Perosak Harapan Rakyat

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris membidas kenyataan Menteri Wilayah, Khalid Abd Samad yang mengatakan pembangkang kini tiada isu malah menggunakan sentimen perkauman dan pertelagahan antara orang Melayu dan bukan Melayu sebagai isu politik.

Tegas beliau, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya adalah sebuah kerajaan yang amat gagal kerana PH adalah punca segala kerosakan yang berlaku di Malaysia pada hari ini.

“Menteri Wilayah mengatakan pembangkang kini tidak membina malah merosakkan negara. Kenyataan itu sepatutnya ditujukan kepada kerajaan pimpinan PH itu sendiri di mana gagal membina negara melalui dasar awam yang cekap serta tiadanya hala tuju negara.

“Kerajaan pimpinan PH masih lagi angkuh dan menyalahkan pembangkang atas isu yang berlaku pada hari ini. Jika dilihat, segala pepecahan yang berlaku berpunca daripada PH itu sendiri.

“Bermula daripada Menteri Agama gagal memelihara kedaulatan agama Islam, Dap yang bersifat rasis, Menteri Pertahanan yang tidak berfungsi, PKR yang mempunyai konflik dalaman, PAN dan PPBM yang hanya menjadi boneka kepada Dap dan pelbagai lagi isu yang menjahanamkan negara ini,” jelas beliau dalam status yang dimuat naik di media sosial beliau.

Tambah Dr Najmil, sejak menjadi pembangkang, UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa progresif dalam membawa isu rakyat di mana nasib dan harapan mereka tidak dipedulikan kerajaan pimpinan PH.

“Kerajaan pimpinan PH adalah contoh institusi kerajaan yang paling gagal kerana perkara asas iaitu kedaulatan agama Islam, hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu juga tidak dapat diperlihara. Bagaimanakah hendak melindungi perkara lain seperti kestabilan politik, perkembangan ekonomi dan kedaulatan sempadan negara?

“Rakyat kini menilai setiap tindakan kerajaan pimpinan PH dan semakin hari rakyat semakin sengsara kerana negara yang kaya raya ini diperintah oleh sebuah parti politik yang gagal.

“Kerajaan pimpinan PH hanya mahir dalam memfitnah dan menabur janji manis sebagai retorik politik untuk memenangi hati rakyat. Kini, setelah menjadi kerajaan, PH menjadi pemusnah harapan rakyat Malaysia,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.