Kempen Beli Produk Bumiputera Bantu Kelemahan KPDNHEP Dan MOF, Menteri Jangan Keliru – A’zlan

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pengerusi Gerakan TUNTUT Malaysia, A’zlan Abu Bakar berkata TUNTUT mengingatkan kepada semua pemimpin-pemimpin terutamanya Menteri Kerajaan agar tidak mengelirukan rakyat terhadap kempen membeli produk bumiputera.

Katanya, kempen ini sengaja disalah tafsir hingga membawa kearah fahaman negatif terhadap rakyat dan ini bertambah serius bila kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh sebilangan menteri yang mengeluarkan kata-kata berbau hasutan perkauman.

“TUNTUT menggesa Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng bertanggungjawab berikutan kenyataannya terhadap kempen membeli barangan bumiputera yang jelas berbau perkauman dan secara melulu menolak kempen ini dengan alasan kempen ini bersifat perkauman.

“Guan Eng seharusnya membuktikan jika benar produk bumiputera ini harganya mahal dan tidak berkualiti atau seandainya, beliau hendaklah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada semua peniaga dan pengusaha produk bumiputera ini kerana Menteri Kewangan sendiri telah merosakkan imej produk-produk bumiputera ini secara keseluruhannya,” katanya kepada UMNO-Online.

Menurut beliau lagi, gabungan-gabungan NGO ini mengajak rakyat dalam ‘Kempen Membeli Produk Bumiputera’ adalah satu penyelesaian terhadap percambahan pergerakan aktiviti ekonomi.

“Usaha ini lebih terfokus kepada keperluan pengguna itu sendiri untuk pelbagai agama dan bangsa dalam mengutamakan produk yang selamat, bersih serta sihat atau erti kata lain halal,” jelasnya.

Katanya, dalam kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Saifuddin Nasution juga seolah-olah tidak memahami peranan baik kempen ini terhadap golongan peniaga Indusri Kecil Sederhana (IKS).

“Saifuddin harus buka mata terhadap masalah peniaga-peniaga bumiputera ini dengan menyokong kempen ini dan mengadakan pertemuan bagi menyediakan penyelesaian yang terbaik. Bukannya dengan menyalah anggap kempen membeli produk bumiputera ini sebagai memboikot produk bukan bumiputera.”

Oleh itu, katanya, TUNTUT menggesa agar diadakan rundingan oleh pihak Kementerian yang bertanggungjawab bersama NGO-NGO yang mewakili peniaga-peniaga bumiputera menggerakkan kempen ini .

“Kita sebagai rakyat Malaysia amat merasakan kesan akibat pergerakan ekonomi yang semakin lemah.

“TUNTUT tidak dapat lihat kematangan Menteri-Menteri yang bertanggungjawab ini dalam menilai kepada keperluan rakyat terutamanya,” tegasnya lagi – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.