#HPU914 Bakal Cipta Sejarah, Kerjasama UMNO-PAS Ke Arah Malaysia Lebih Baik


KUALA LUMPUR, 4 Sept. – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata sejarah bakal tercipta dalam arena politik tanah air pada 14 Sept. ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila termetrainya secara rasmi piagam UMNO-PAS.

Katanya, banyak usaha-usaha dilakukan oleh UMNO dan PAS untuk memastikan kerjasama ini berjalan dengan lancar serta harmoni.

“Ia merupakan satu sejarah daripada banyak usaha yang telah dilakukan daripada selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

“Ini kemuncak kepada segala usaha, saya amat teruja serta berharap agar ahli UMNO dan PAS serta mereka yang ‘atas pagar’… yang cintakan perpaduan, keamanan dan kesejahteraan untuk Malaysia yang lebih baik, datanglah pada 13 dan 14 September ini di PWTC,” katanya kepada UMNO-Online.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan gandingan kerjasama UMNO dan PAS bersama rakan-rakan dari parti lain akan menjadi lebih kuat dan hebat dari Pakatan Harapan (PH).

“Masyarakat Melayu dan Islam serta kaum-kaum lain kini memberi sokongan positif kepada penyatuan ummah UMNO dan PAS. Ini terbukti seperti yang dizahirkan dalam peti undi semasa beberapa siri PRK baru-baru ini yang mana ia memberi kemenangan kepada calon Barisan Nasional (BN) di (PRK) Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau,” katanya.

Tegas beliau, pembentukan kerjasama UMNO dan PAS dianggap satu kejayaan yang besar dan bermakna bagi masyarakat Malaysia jika dibandingkan dengan perseteruan yang cukup panjang membabitkan kedua-dua parti Melayu dan Islam yang terbesar ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.