Gagal Tunai Janji, Usik Kesucian Islam & Hak Istimewa Melayu… PH Wajib Tumbang PRU15 – Wan Rosdy

KERDAU, 4 Sept – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat agar jangan terpedaya sekali lagi dengan Pakatan Harapan (PH) yang hanya pandai berjanji tetapi gagal menunaikannya.

Kata Menteri Besar Pahang itu, ramai pengundi semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu telah percaya dengan manifesto PH, contohnya seperti hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) akan dihapuskan, harga minyak petrol diturunkan, tol dihapuskan dan janji satu juta peluang pekerjaan.

“Tetapi selepas mereka menang, mereka tidak tunaikan janji mereka. Ini kita dapat lihat sendiri apa yang kerajaan baru buat, harga minyak petrol tak turun, harga sawit makin turun.

“Kemudian bantuan-bantuan yang dulu kita dapat sudah tiada, banyak dikurangkan, subsidi juga telah banyak dihapuskan dan ini menyebabkan kita (rakyat) rasa resah gelisah,” ujarnya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam ceramah penyatuan ummah peringkat negeri Pahang di Dewan Seri Ketumbit di sini, malam tadi.

Selain Wan Rosdy, turut memberikan ceramah ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abdul Jabbar.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin; Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed; Ahli Parlimen Lipis yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Mohamad; Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor dan barisan kepimpinan PAS Pahang.

Selain gagal menunaikan janji jelas Wan Rosdy, PH juga gagal mengurus tadbir negara dengan baik.

“Apa yang telah PH buat setelah setahun lebih memerintah negara? Mereka gagal mengurus perpaduan kaum, mereka gagal mengurus ekonomi, mereka gagal memberi kebajikan kepada rakyat.

“Dan ini terbukti bukan fitnah. Kebajikan dulu kita bagi BR1M, sekarang dapat sikit.. perpaduan antara kaum (semakin longgar). Kemudian ekonomi kita bagaimana, hutang negara semakin meningkat, dengan kata lain mereka gagal memerintah negara ini dan kita UMNO, PAS wajib untuk kita tumbangkan PH dalam pilihan raya akan datang,” tegasnya.

Justeru itu katanya, semua pihak perlu tekad menjelaskan kepada rakyat situasi negara yang berlaku sekarang ini

“Matlamat kita satu, jangan fikir yang lain. Kita beritahu kepada pengundi-pengundi kita kita tidak mahu lagi negara kita ini dikawal, diperintah oleh mereka yang gagal mengawal ekonomi, perpaduan dan pendidikan negara.

“Matlamat kita ialah pastikan PH kalah PRU akan datang. Dan ini bukan mustahil asalkan kita bersatu jangan berpecah,” gesanya lagi.

Wan Rosdy turut menukilkan pantun buat ingatan rakyat atas kegagalan PH menunaikan janji-janji manifesto pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Kalau tuan-tuan pergi memancing,
Jangan lupa membawa umpan;
Kalau tuan-tuan tak hendak kena ‘kencing’,
Janganlah undi Pakatan Harapan.

Wan Rosdy juga berkata selepas PH memerintah, pelbagai perkara telah berlaku seperti institusi diraja, hak istimewa orang Melayu dan Islam walaupun telah jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan diusik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.