Video Seks: Harap Pihak Berkuasa Termasuk Peguam Negara Teruskan Siasatan, Pendakwaan


KUALA LUMPUR 3 Sept.- Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berharap pihak berkuasa termasuk Peguam Negara tidak akan mempunyai masalah untuk meneruskan siasatan serta pendakwaan berhubung siasatan video seks Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ini kerana katanya, bukti yang ada telahpun diserahkan kepada pegawai polis.

“Sebelum ini, saya juga telah serahkan laporan analisis video kepada pegawai polis menerusi aplikasi WhatsApp.

“Hasil analisis video yang dibuat di Verden Forensics itu mendapati imej sepadan dengan kedua-dua mereka serta tiada sebarang kesan manipulasi,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat Bukit Aman di sini, hari ini.

Hari ini beliau hadir di Ibu pejabat Polis Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.

Lokman berkata, beliau dipanggil oleh pihak polis untuk dirakam percakapan berhubung laporan analisis forensik video yang dilakukan di Britain pada pertengahan bulan lalu.

Sebelum ini, polis telah mengeluarkan surat perintah kepada Lokman untuk memberi kerjasama menyerahkan dokumen berkaitan laporan forensik video tersebut.
Surat perintah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman itu dikeluarkan pada 26 Ogos 2019 mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur (Akta 593).

Terdahulu pada Jun lalu, Lokman dipanggil ke Bukit Aman berhubung kes video seks tersebut selepas membuat laporan polis ke atas orang yang menyebarkan video dan melakukan aksi lucah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.