#HPU914: Wujudnya Kesefahaman, Kesedaran Dan Keinsafan Demi Masa Depan Semua – Zolkafly

IPOH, 3 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata 14 September merupakan tarikh keramat apabila piagam kerjasama UMNO dan PAS akan ditandatangani oleh kedua-dua Presiden parti.

Katanya, yang penting sekali wujudnya persefahaman, kesedaran dan permulaan baru untuk UMNO dan PAS sehingga membawa kepada termeterainya piagam kerjasama.

“Terdapat satu kesefahaman, kesedaran dan keinsafan dikalangan kepimpinan kedua-dua parti. Bukan sahaja diperingkat pusat, bahagian mahupun ‘grass root’, semuanya menyokong penuh usaha–usaha yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO dan PAS.

“Ini merupakan satu langkah terbaik dengan taufik dan hidayah dari Allah SWT maka kita boleh melupakan segala perselisihan faham puluhan tahun dan membentuk satu ikatan hingga termeterainya piagam ini,” katanya kepada UMNO-Online.

Tegasnya, kerjasam ini amat perlu dan sudah tiba masanya kerana politik negara pada hari ini memerlukan umat Melayu dan Islam bersatu padu dan kuat bagi bersama-sama berdepan dugaan.

“Dengan termeterainya piagam kerjasama ini, ia merupakan satu langkah terbaik untuk memperkukuhkan semangat serta sokongan orang Melayu dan Islam di negara ini.”

Satu perkara yang amat penting kepada sejarah politik negara dimana kedua-dua parti Melayu yang terbesar di Malaysia dapat bergabung dan mengadakan permuafakatan kerjasama bukan sahaja kerana politik tetapi lebih jauh lagi kepada soal agama dan bangsa, ujarnya.

“Saya penuh yakin dengan termeterainya piagam ini lanskap politik negara akan berubah dan kuasa kerajaan pada hari ini juga akan berubah pada Pilihan Raya Umum(PRU) 15 dengan memihak kepada pakatan perpaduan ummah iaitu UMNO dan PAS serta Barisan Nasional (BN) … insya-Allah.”

Dilaporkan, lebih 10,000 pengunjung bakal membanjiri sekitar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 dan 14 September depan sempena Himpunan Penyatuan Ummah dan majlis tandatangan piagam kerjasama UMNO dan PAS.

Pelbagai pengisian telah diatur bermula pada 13 September lagi iaitu Jumaat bermula dengan zikir munajat oleh Wanita UMNO dan Muslimat PAS selain program bersama Puteri dan Ameera PAS pada sebelah pagi.

Selepas solat Jumaat akan diadakan solat hajat dan kemudiannya disusuli ‘Wacana Intelektual Penyatuan Ummah’ anjuran Penerangan UMNO selain Himpunan Anak Muda yang dikendalikan bersama antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS di Dataran PWTC.

Pada malamnya pula, akan diadakan Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC yang menampilkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man seterusnya acara kemuncak pada 14 Sept yang mana akan ditandatangani piagam kerjasama UMNO dan PAS oleh kedua-dua presiden parti berkenaan. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.