#HPU914 Piagam UMNO-PAS Inklusif, Bawa Agenda Nasional Untuk Kebaikan Semua Rakyat – Annuar


PASIR SALAK, 31 Ogos – Ta’awun antara UMNO dan PAS adalah untuk kebaikan semua rakyat, bukan eksklusif kedua-dua parti itu sahaja, ujar Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, ia mesti dilihat secara nasional dan inklusif yang melibatkan semua pihak.

“Ada kebaikan untuk rakyat dan masyarakat, bukan dalam bentuk pengasingan Islam dan bukan Islam ataupun Melayu dan bukan Melayu. Itu tidak sama sekali.

“Bila kita isytiharkan piagam nanti kita mengharapkan ia akan menghapuskan percubaan orang lain memberi gambaran lain kepada ta’awun.

“14 haribulan (September) nanti nak kata ‘game changer’ pun boleh… ‘a new beginning’ pun boleh… nak kata ‘new hope’ pun boleh. Tapi UMNO dan PAS ambil pendekatan ini dengan penuh rasa tanggungjawab atas kepentingan nasional,” ujarnya kepada media setelah selesai program Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah di dataran Dewan Besar Pekan Rabu di sini, malam tadi.

Selain Annuar, himpunan tersebut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bekas Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Majlis Tertinggi dan barisan kepimpinan pelbagai peringkat.

Turut hadir barisan kepimpinan PAS yang diwakili Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyudin Hasan, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria serta kepimpinannya.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata majlis menandatangani piagam itu bakal mencipta satu sejarah politik negara.

“Ini adalah acara yang bersejarah, dan menjemput orang ramai hadir melihat sendiri satu sejarah yang akan tertulis dalam negara kita.

“Sebagaimana yang kita tahu UMNO dan PAS berpisah sejak tahun 1951 dan bercantum sekejap pada tahun 70-an. Dulu pencantuman tidak ada dalam bentuk yang ada sekarang.

“Tapi kali ini bukan sahaja hanya satu bentuk kerjasama tetapi ia satu bentuk permulaan baru kepada politik baharu untuk Malaysia. Rakyat akan dapat memahaminya pada 14 haribulan nanti,” ujarnya.

Annuar juga memberi jaminan piagam tersebut merupakan satu bentuk tawaran yang baharu kepada rakyat.

“Sebagai Setiausaha Agung, saya dapat beri jaminan ada sesuatu yang dapat membuka mata kepada politik negara dan akan ada sesuatu yang amat baru bagi politik negara yang belum pernah kita saksikan sebelum ini.

“Ia bukan hanya memorandum persefahaman antara dua parti, tapi ia merupakan satu pelancaran politik dan tawaran yang baharu kepada Malaysia secara keseluruhannya.

“Itu nasional agenda, sangat insklusif yang melibatkan semua segmen dalam masyarakat,” katanya lagi.

Justeru itu, Annuar mempelawa Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mengikuti secara langsung piagam tersebut supaya dapat membetulkan salah tanggapnya terhadap kerjasama UMNO dan PAS.

“Dr Mahathir komen piagam UMNO dan PAS adalah satu piagam yang tidak baik kepada Malaysia. Itu adalah kerana Dr Mahathir melihat mengikut kacamatanya. Apa yang Dr Mahathir bayangkan langsung tidak menggambarkan apa yang sebenarnya akan berlaku pada 14 haribulan.

“Dan kita juga mengharap Dr Mahathir boleh mengikuti siaran langsung yang kita lakukan dan juga ucapan dari dua pemimpin dan selepas itu apabila piagam diumumkan kita harap Dr Mahathir dapat beri komen pula selepas daripada itu.

“Apa yang kita lakukan ini, kita cuba bantu Dr Mahathir atas kegagalan beliau dan pasukannya. Kita perlu bina semula negara dengan lebih baik dengan meletakkan Malaysia di tempat yang sepatutnya untuk kebaikan semua pihak. Jika Dr Mahathir tengok ini hanyalah ta’awun antara UMNO dan PAS untuk hendak masuk pilihan raya, itu adalah salah sama sekali,” tegsanya.

Tambah Annuar, rakan-rakan parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan MIC amat menyambut baik usaha ta’awun malah dari Gagasan Sejahtera PAS, parti-parti lain dalam blok pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan.

Berhubung program Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 di mana UMNO Bahagian Pasir Salak yang diketuai Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai tuan rumah dan dibantu PAS kawasan, Annuar berbangga program tersebut berjaya dilaksanakan dengan cemerlang dengan puluhan ribu kehadiran.

“UMNO dan PAS sekarang ini sedang mengadakan program di setiap negeri menuju ke arah perhimpunan pada 14 September.

“Sekarang ini adalah penting bagi pemimpin untuk membanyakkan pendekatan bersemuka melalui ucapan dalam rapat umum kerana kita merasakan ini sebagai satu cara kita dapat menggerakkan kebangkitan rakyat dan juga menyampaikan mesej-mesej secara langsung.

“Saya tengok politik kita sedang melalui satu transisi yang sangat penting, yang memerlukan kepada ulasan-ulasan pucuk pimpinan sebab kadang-kala dengan hanya mengetahui secara jauh misalnya apa maksudnya ta’awun siyasi. Itu perlu kupasan daripada pemimpin-pemimpin supaya ia tidak disalah-mengertikan,” katanya.

Annuar turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan himpunan tersebut termasuk pasukan keselamatan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.