#HPU914: Inklusif Untuk Semua, Piagam Sebagai Tatakelola Kerja Lebih Mantap – Mohamad

 

RANTAU 31 Ogos – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata piagam penyatuan ummah ini adalah rangka kerja terhadap penubuhan jawatankuasa sekiranya ada apa-apa berlaku.

Katanya, apabila piagam kerjasama ini dimeterai pada 14 september, segala slogan penyatuan ummah ini akan ditukar dan menampakkan lagi inklusif kerana ia melibatkan semua bangsa yang ada di negara ini.

“Selepas ini tidak dipanggil penyatuan ummah dan ia akan lebih inklusif dipanggil satu yang merangkumi semua dan termasuk juga orang yang bukan Islam.

“Kalau nak buat ini kenalah buat secara bersama dan jangan tinggalkan antara satu sama lain. Kita cuma buat deklarasi sahaja dan piagam itu sebagai mercu tanda. Piagam ini merupakan tatakelola kerja untuk kita meneruskan agenda penyatuan ummah ini,” katanya semasa Ceramah Penyatuan Ummah peringkat Negeri Sembilan di Eco Park, Kuala Sawah, Rantau, pada hari ini, di sini.

Beliau menambah, pembentukan kerajaan perpaduan itu penting bagi menunjukkan kesepakatan kerjasama yang jitu antara kedua-dua parti orang Melayu terbesar sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Tambahnya, UMNO dan PAS mampu memberi ancaman besar kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya kerajaan pada masa sekarang gagal menangani isu-isu semasa yang berlaku dengan bijaksana.

“Kerjasama UMNO dan PAS bukannya baru tetapi dulu sudah pernah berlaku cuma hanya bertahan lima tahun, selepas itu ketiadaan Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Datuk Asri….”

Katanya, penyatuan dulu dibuat atas persefahaman bersama dan tidak sampai ke akar umbi.

“Tidak ada penerangan sehingga sampai ke peringkat bawah cuma peringkat pemimpin pusat sahaja. Kesukaran ini berlaku kerana mereka tidak memahaminya.

“Selama ini UMNO dan PAS berseteru, tiba-tiba bercantum tanpa asbab musabab yang perlu ditelan dan mentelaahnya, jadi ianya tidak dapat bertahan lama. Kerana dulunya persefahaman ini berasaskan 100 peratus kepada asas politik.

“Apabila kita simpul ikatan ini atas asas agama dan bangsa … insya-Allah kita tidak ada apa-apa keperluan untuk kita mengesyaki bahawa ikatan berasaskan agama dan bangsa ini boleh terlerai melainkan kita mengkhianati agama kita sendiri ataupun bangsa kita.”

Jelasnya, sekiranya pemimpin-pemimpin lama sudah tiada maka pemimpin-pemimpin bawah akan teruskan penyatuan ini dan bukannya berasaskan kepada pemimpin atau politik, tapi penyatuan ini untuk memastikan kesinambungan mengikut perlembagaan persekutuan.

“Ini yang saya nak tekankan dan lakukan di seluruh negara dan saya ingin beratkan di setiap kawasan. Kita akan menerangkan dan akar umbi akan memahami asas penyatuan ini yang bukan sangat kepada politik.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.