Skuad Sabil: Kembali Kepada Semangat ‘Tolong Orang’

KUALA LUMPUR 30 Ogos – Bukan semua yang dilakukan sebuah parti politik perlu berobjektifkan pilihan raya.

Program atau aktiviti parti politik yang tidak menyasarkan untuk meraih undi atau pengkaderan ahli dikenali sebagai fungsi bukan elektoral dan ia bukanlah perkara asing dalam politik Malaysia.

DAP contohnya, pernah mengadakan kursus politik yang dikenali sebagai Sekolah Demokrasi, manakala Pas pula terkenal dengan Unit Amalnya.

UMNO juga kini sudah memulakan langkah untuk memperkasa fungsi bukan elektoralnya melalui penubuhan Skuad Sabil Pemuda UMNO.

Bagi pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain, matlamat penubuhan Skuad Sabil itu boleh dicapai sekiranya pemuda UMNO dapat menghayati falsafah di sebalik penubuhannya.

“Beri sebanyak-banyaknya kepada parti, rakyat dan negara. Bukan terima sebanyak-banyaknya.

“Ahli perlu faham selain peranan parti untuk memenangi pilihan raya, parti perlu melunaskan tanggungjawab kepada rakyat khususnya dalam soal kebajikan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menganggap Skuad Sabil sebagai kekuatan baharu UMNO ketika menyempurnakan majlis penutup Kursus Siri Pertama Skuad Sabil di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula mahu penubuhan skuad itu dapat memupuk idealisme pengorbanan dan kesukarelawanan dalam diri ahli UMNO.

Mengulas lanjut, Mohd. Izani berpendapat, penubuhan Skuad Sabil boleh mengembalikan semangat ahli UMNO pada dekad 60-an yang mengabdikan diri untuk ‘tolong orang’, bukan untuk mendapatkan habuan.

“Jika masuk UMNO untuk mendapatkan habuan, sebagai sumber pendapatan, ia salah. Kalau berjuang kenalah memberi, bukan banyak menerima,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.