Himpunan Penyatuan Ummah Untuk Semua, Demi Kepentingan Rakyat Malaysia

KOTA BHARU, 30 Ogos – Himpunan Penyatuan Ummah 13-14 September ini bukan hanya untuk ahli UMNO dan PAS sahaja, tegas Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Justeru katanya, pelbagai pihak termasuk rakan-rakan dalam MIC dan MCA, Gagasan Sejahtera serta NGO dan orang ramai yang menyokong perjuangan ini dijemput hadir.

“Ini merupakan himpunan untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanah Merah, hari ini.

Katanya, apa yang nyata, penyatuan ummah yang dilakukan UMNO-PAS ini sebenarnya untuk kebaikan semua kaum dan agama di dalam negara ini.

“UMNO pastinya, begitu juga PAS mahu menjaga kepentingan rakyat Malaysia, maka marilah bersama dalam perjuangan ini.

“Saya percaya ada sesuatu yang besar akan dinyatakan oleh Presiden UMNO dan PAS dan kita mahu tawarkan sesuatu yang lebih baik daripada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Apa yang dilakukan ini adalah untuk kepentingan Melayu Islam, Bumiputera, dan anak anak negeri termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Selaras itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong menyeru kepada seluruh pemimpin dan ahli UMNO disemua peringkat untuk perkukuhkan parti.

“Kita mesti patuh dengan prinsip perjuangan parti UMNO. Jika kita bersatu padu dan kuat, pasti ramai akan menghormati kita,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.