#HPU914: Demi Masa Depan Negara, Jangan Curigai Perpaduan UMNO-PAS – Shahidan

KANGAR, 28 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata himpunan kedua-dua parti terbesar Melayu UMNO dan PAS sememangnya telah dinanti-nanti oleh semua lapisan masyarakat.

Katanya dengan suasana hari ini yang memperlihatkan kerajaan gagal membela bangsa Melayu dan Islam maka UMNO dan PAS menjadi harapan untuk menyatukan orang Melayu dan seterusnya membentuk perancangan untuk masa depan negara.

“Kita kena ingat apabila Melayu kuat dan bersatu padu, bangsa lain akan hidup aman damai. Ini dah terbukti dalam sejarah yang perpaduan UMNO ataupun perpaduan Melayu tidak pernah menyebabkan pergaduhan perpaduan kaum, tak pernah … jadi mengapa perpaduan UMNO dan PAS dicurigai?

“Sepatutnya Melayu yang kuat adalah himpunan semua parti dan bukannya semua orang masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Biar semuanya parti-parti Melayu bercantum di atas satu kesepaduan, UMNO dan PAS tidak akan bertukar,” katanya kepada UMNO Online.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau turut menjelaskan tidak perlu membubarkan apa-apa parti dan masuk parti lain untuk bersatu sebagaimana UMNO dan PAS yang bekerjasama atas dasar parti masing-masing.

Tambah Shahidan lagi sepatutnya perpaduan ini disokong semua kaum termasuk Cina, India dan lain-lain kerana ini ke arah perpaduan yang lebih kuat.

“Kita tahu orang Cina dan India kuat di bawah parti mereka tapi Melayu tidak ada satu parti yang kuat… maka orang Melayu perlu memberi sokongan kepada kerjasama dan himpunan UMNO-PAS.

“UMNO dan PAS yang patut dihormati dan bukan dicemburui, bukan diburuk sangka atau provokasi kononnya pemerintahan Taliban dan selainnya,” katanya lagi.

Untuk rekod, piagam kerjasama UMNO dan PAS ini akan dimetrai secara rasmi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September ini dan akan diitanda tangani oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.