ADUN BN Pertikai Pelantikan 14 Pegawai Penyelidik Oleh PH

SEREMBAN 27 Ogos – Seorang wakil rakyat pembangkang hari ini bangkit dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, mempertikaikan tindakan kerajaan negeri melantik sehingga 14 pegawai penyelidik secara kontrak dengan tambahan bajet sebanyak RM660,200.

Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Senaling) berkata, tambahan peruntukan melebihi setengah juta itu menimbulkan tanda tanya memandangkan kerajaan negeri yang baharu didakwa mengamalkan belanjawan berhemah.

“Bagi tajuk Perkhidmatan dan Bekalan, saya lihat tambahan sebanyak RM660,200 untuk menampung bayaran pegawai penyelidik tersebut. Saya mohon penjelasan apakah tugas pegawai penyelidik ini.

“Saya difahamkan setiap Ahli Exco sudah ada pegawai khas masing-masing. Oleh itu, adakah ditambah sehingga 14 pegawai penyelidik ini,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2019 pada Persidangan Kedua Penggal Kedua DUN Ke-14 di sini semalam.

Adnan menarik perhatian sama ada perlantikan itu sejajar dengan aspirasi dan gerak kerja yang sering digembar-gemburkan oleh kerajaan negeri.

“Antaranya ialah untuk memastikan pegawai yang dilantik secara kontrak ini benar-benar diperlukan untuk membantu Exco, pejabat Speaker DUN dan Menteri Besar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.