Skuad Sabil ‘Pak Guard Dari Bangladesh’: Pemuda Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis berhubung  kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin yang mendakwa Skuad Sabil adalah ‘Pak Guard dari Bangladesh’ yang dianggap amat rasis dan biadap.

Laporan tersebut dibuat oleh Pengerusi Skuad Sabil Malaysia, Mohamad Fazly Zainudin di IPD Dang Wangi.

Menurut Fazly Skuad Sabil adalah satu inisiatif oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang ditubuhkan atas semangat sukarelawan yang memfokuskan kerja kebajikan dan kebaikan terhadap ummah supaya anak muda mendekatkan diri kepada ummah melalui kerja kebajikan.

“Tindakan Timbalan Menteri ini seolah memperlekehkan badan beruniform dan juga rasis kerana melabelkan orang Melayu sebagai ‘Pak Guard Bangladesh’.

“Oleh itu, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak Sim Tze Tzin untuk bertanggungjawab atas kenyataannya yang berbaur perkauman dan disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Laporan telah dibuat pada jam 16.35 petang di IPD Dang Wangi.

Turut bersama Penolong Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, Sdr Johari Yazid; Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Sdr Datuk Dr Najmil Faiz, Sdr Afif Farhi, Muqhorrobin Mokhtaruddin; SUK Pemuda UMNO Malaysia, Sdr Zaim Tawfek, Pengurusan Skuad Sabil Malaysia dan Pengerusi Skuad Sabil Negeri Selangor, Sdr Neezam. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.