Jelajah Piagam PAS-UMNO Di Perlis Suntik Semangat Penyokong

KANGAR 26 Ogos – Penyokong UMNO dan Pas yang amat mendambakan penyatuan ummah menjadi realiti, tidak melepaskan peluang menghadiri Himpunan Jelajah Piagam Pas-UMNO peringkat negeri ini di Dewan 2020 di sini, malam tadi.

Perlis menjadi negeri pertama siri jelajah tersebut sebelum himpunan bagi menandatangani piagam muafakat di antara kedua-dua parti itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September nanti.

Lebih 2,000 orang memenuhi dewan berkenaan bagi menyertai himpunan yang dihadiri pemimpin-pemimpin utama kedua-dua parti itu iaitu antaranya Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Hadir sama, Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli dan barisan kepimpinan kedua-dua parti itu dari negeri ini.

Antara yang dibangkitkan dalam himpunan tersebut adalah seruan kepada penyokong daripada kedua-dua parti itu untuk menyertai himpunan menandatangani piagam muafakat Pas dan UMNO di PWTC pada 14 September depan.

Selain itu, turut dapat disaksikan semangat penyokong Pas dan UMNO yang sudah tidak lagi kekok berada bersama di dalam sesebuah himpunan membabitkan kedua-dua parti itu.

Malah bagi penyokong kedua-dua parti itu, kerjasama orang Melayu Islam melalui penyatuan ummah antara Pas dan UMNO sememangnya menjadi impian mereka sejak dahulu.

Sementara itu, Shamsul Anuar dalam sidang akhbar selepas himpunan tersebut memberitahu, selain menandatangani piagam, program pada 13 dan 14 September nanti juga bakal diisi dengan pelbagai aktiviti.

“Antaranya pada 13 September, diadakan wacana, program melibatkan sayap kedua parti itu dan pelbagai aktiviti lain. Bagi program jelajah ini pula, ia akan diadakan di seluruh negara kecuali di Sarawak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.