Jangan Bertolak Ansur Dengan Pihak Ancam Keharmonian Negara

PONTIAN 24 Ogos – Keselamatan rakyat menjadi tanggungjawab kerajaan dengan memastikan tiada pihak cuba menimbulkan ketegangan antara kaum termasuk dalam kalangan pemimpin.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan menegaskan tiada pihak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya ucapan atau kenyataan yang dibangkitkan menimbukan keresahan orang ramai.

Ttanpa merujuk kepada pihak-pihak tertentu, beliau berkata, sewajarnya semua pihak dapat memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan yang menjadi rujukan semua.

“Pelbagai isu yang dibangkitkan secara semborono menjelang sambutan ulang tahun Kemerdekaan Negara ke-62 tahun dikhuatiri boleh memecahbelahkan perpaduan antara kaum di negara ini.

“Kita berharap pihak berkuasa tidak bertolak ansur dengan mereka yang sengaja cuba untuk mengujudkan suasana tidak tenteram yang jika tidak dibendung akan mengancam keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Penyatuan Ummah UMNO dan Pas serta Ceramah Sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Sungai Senai, Belokok, di sini malam tadi.

Ceramah Kemerdekaan disampaikan oleh Tokoh Akademik dan Pengkaji Sejarah, Ku Hasnan Ku Halim.

Yang Turut hadir Pengerusi Pas Kawasan Tanjung Piai, Abd. Mutalib Hassan.

Tambah Jefridin Atan, pihaknya juga meminta semua pihak menghentikan sebarang perbalahan dan perselisihan pendapat yang tidak menguntugkan mana-mana pihak sebaliknya hanya menanam kebencian semata-mata.

“Sebagai sebuah negara majmuk dan mempunyai kepelbagaian agama, budaya dan bahasa, perlu ada saling faham memahami dan cuba untuk kembali kepada asas penubuhan negara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO Bahagian Tanjung Piai akan menghantar 100 peserta ke Himpunan Penyatuan Ummah dan Majlis menandatangani Piagam kerjasama UMNO dan Pas pada 13 dan 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.