PH Perlu Sedar Hal Negatif, Gojek Bakal Beri Kesan Kepada Wanita – Haryaty

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Ketua Wanita UMNO Kota Melaka Haryaty Hamdzah berkata keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju dengan cadangan mewujudkan jenis perkhidmatan teksi motosikal (Go-Jek) dilihat tidak sesuai dan boleh mengundang bahaya terutama sekali penunggang wanita.

Katanya faktor keselamatan bagi kaum wanita sebagai pengguna juga perlu diberi penekanan khusus kerana majoriti yang bakal membawa Go-jek adalah lelaki .

“Keselamatan di jalan raya dan keselamatan dari ganggunan seksual yang berpotensi berlaku. Perlu ada mekanisme khusus bagi melindungi pengguna wanita sebelum mereka menjadi mangsa oleh yang tidak bertanggungjawab.

“Statistik kemalangan menunjukkan purata kematian disebabkan kemalangan adalah seramai 18 orang setiap hari sepanjang 2018, daripada jumlah itu, 63 peratus kematian membabitkan penunggang motosikal,” katanya.

Beliau menjelaskan kerajaan PH perlu sedar banyak perkara negatif yang bakal berlaku terutama sekali kemalangan jalan raya.

“Statistik ini jelas menunjukkan kepada semua bahawa kenderaan seperti motosikal memiliki risiko kemalangan maut yang agak tinggi jika dibandingkan dengan jenis-jenis kenderaan yang lain.”

Soal beliau, adakah kerajaan PH sanggup meletakkan risiko tinggi kepada pengguna perkhidmatan awam ini sekiranya ia dilaksanakan kelak?

“Secara pribadi saya tidak bersetuju dengan pengenalan Go-jek di Malaysia. Ia bukan suatu keperluan mendesak apabila kita telah ada kemajuan dalam kenderaan awam seperti Transit Aliran Deras Lembah Klang (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Grab, Uber dan sebagainya,” tegasnya lagi – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.