Utusan Malaysia: Tindakan RSN Rayer Bukan Perkara Baru – Dr Adham

KUALA LUMPUR, 22 Ogos- Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menarik balik sebahagian kenyataan mengenai Utusan Malaysia semalam bukanlah perkara baru dan bukan mengejutkan.

Ini kerana katanya budaya tersebut seolah-olah melekat dengan pimpinan Dap yang sebelum ini seringkali mengeluarkan kenyataan namun setelah mendapat kecaman dan bantahan akhirnya mereka menarik balik.

“Mungkin beliau juga begitu. Cuma saya nak ingatkan agar jaga tutur kata dan tidak mengambil kesempatan terhadap apa yang berlaku dikhuatiri boleh menimbulkan kemarahan dan sebagainya sepertimana yang berlaku mengenai Utusan Malaysia.

“Jadi saya minta kepada beliau jangan mengambil kesempatan atau menjadikan ini sebagai menambahkan lagi barah perkauman kerana kita tahu Utusan Malaysia adalah sebuah akhbar yang menjelaskan dan membawa hasrat suara akar umbi rakyat dan ianya bukan perkauman,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Memetik laporan, Anggota Parlimen Jelutong RSN Rayer telah menarik balik sebahagian daripada kenyataannya berkenaan keputusan Utusan Malaysia untuk menghentikan akhbar bercetak sebagai “pencapaian terbesar Pakatan Harapan (PH)” dalam membanteras perkauman.

Rayer dalam kenyataan terdahulunya berkata: “Saya ingat kematian Utusan akan merupakan pencapaian terbesar Pakatan Harapan ketika kita cuba menguburkan sifat perkauman dalam negara ini dan meraikan hari kemerdekaan ulang tahun ke-62.”

Bagaimanapun dalam kenyataan kemas kini dua jam kemudian, perenggan berkenaan kenyataan itu sudah dipadamkan.

Adham seterusnya menambah budaya ‘serang dan lari’ merupakan perkara yang seringkali berlaku dan ini merupakan satu perkara yang tidak sihat untuk perkembangan politik dan suasana dalam negara.

Sepertimana yang berlaku dalam isu Utusan, tambahnya lagi keluar kenyataan namun kemudiannya ditarik balik atas pelbagai alasan yang sepatutnya tidak berlaku.

“Tambahan pula sebagai Ahli Parlimen, perkara-perkara yang menyentuh soal sensitiviti perlu diambil perhatian sewajarnya,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kasim pula melihat ia satu pemikiran yang tidak baik berlaku di kalangan Dap terutamanya yang suka membuat serangan dan kemudiannya mengambil tindakan meminta maaf.

Contohnya ujar beliau beberapa kenyataan yang telah dikeluarkan sebelum ini yang akhirnya memohon maaf setelah mendapat kecaman pelbagai pihak seperti kenyataan ‘Melayu pendatang’ dan sebagainya lagi.- UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.