Retorik Politik, Apa Sebenarnya Menteri PH Buat Selain Tunggu Gaji Hujung Bulan?

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Kegagalan demi kegagalan yang dilakukan oleh menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) dalam melunaskan janji-janji kepada rakyat selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dan kemudiannya menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas apa yang berlaku hari ini dipertikai.

Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah, Ir Abdul Aziz Julkarnain membidas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking yang hanya pandai bercakap lebih pantas dari pemikirannya.

Katanya, beliau lupa bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai kakitangan dan kepakaran yang hampir sama dengan kerajaan BN cuma yang membezakan adalah perubahan jawatan-jawatan tertinggi yang penting dan strategik.

“Terbukti BN benar-benar telah menjaga rakyat termasuk penduduk di negeri Sabah dengan sebaik–baiknya sehinggalah diambil alih oleh kerajaan PH, namun malangnya hanya dalam masa tujuh bulan, kadar pengangguran telah meningkat kepada 5.8%, satu angka yang tertinggi di negara ini berbanding negeri-negeri lain.

“Persoalannya bagaimana kerajaan Warisan-PH yang mempunyai kakitangan dan asas pentadbiran yang sama dengan kerajaan BN dahulu boleh mencatat kadar pertumbuhan yang terburuk di negara ini hanya dalam jangka masa kurang dari 7 bulan? Amat menghairankan, bukan? Saya fikir bezanya hanya satu, pemimpin-pemimpin sekarang kekurangan komitmen dan halatuju jelas untuk memajukan negeri ini.

“Sepanjang pemerintahan BN taraf sosio ekonomi meningkat dengan pelbagai rencana pembangunan sehingga mencatat kadar pertumbuhan tertinggi di negara ini namun hari ini…,” katanya sebagaiman dalam laman facebooknya.

Terdahulu, Darell Leiking dipetik sebagai berkata “… punca kemerosotan KDNK negeri Sabah, maka mudah bagi saya untuk berkata bahawa ia juga berpunca daripada pentadbiran sebelum ini.”

Abdul Aziz menegaskan perencanaan pembangunan yang dilakukan oleh BN amat memberansangkan seperti seperti projek jajaran Lebuhraya Pan-Borneo yang menelan kos berharga RM12.5 billion, projek gas dan minyak di Kimanis, Sipitang, kluster Industri Minyak Kelapa Sawit Lahad Datu dan Sandakan, Hab Pendidikan Sandakan dan banyak lagi.

“Segala asas dan fundamental yang hebat telah BN ciptakan tapi PH hanya tahu merosakkan dan gagal pertahankan kejayaan demi kejayaan yang dibina oleh BN selama ini.

Soal beliau, kenapa PH perlu kamu rosakkan ekonomi negeri ini?

“Mengapa kamu binasakan kemakmuran hidup penduduk negeri ini? Dorell, apa sebenarnya yang kamu sedang buat selain tunggu gaji hujung bulan?

“Saya fikir pemimpin-pemimpin kerajaan sekarang lebih suka beretorik politik seperti Sabah Ubah! dan Sabah Kita Punya! Apakah sebenarnya maksud retorik politik Sabah Kita Punya?” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.