PH Gagal: Janganlah Hanya Omong Kosong… Kurangkan Berpolitik, Jadilah Pentadbir Kerajaan

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Laporan Kewangan Suku Kedua 2019 yang dikeluarkan oleh Bank Negara baru-baru membuktikan sekali lagi bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal dalam melaksanakan janjinya untuk memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan untuk rakyat menerusi pelaburan-pelaburan baharu, kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Justeru katanya, adalah lebih baik Kerajaan PH memberikan fokus yang lebih kepada usaha untuk mengembalikan kegemilangan ekonomi negara seperti yang mereka laung-laungkan sebelum.

“Janganlah ia hanya sekadar omongan kosong. Kurangkan berpolitik kerana ini adalah masa untuk PH sebagai Pentadbir Kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat untuk melaksanakan tugas seperti yang diamanahkan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Tegas beliau yang juga Ahli Ahli Parlimen Parit Sulong, Laporan Kewangan Suku Kedua 2019 yang dikeluarkan oleh Bank Negara baru-baru ini amat membimbangkan kerana, angka dan peratusan di dalam laporan itu menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara langsung tidak melibatkan sebarang sumbangan daripada Kerajaan.

“Sebaliknya, ia bergantung harap kepada perbelanjaan, pelaburan dan sumbangan eksport bersih daripada pihak swasta yang menjadikan pertumbuhan ekonomi negara pada suku kedua 2019 mencapai 4.9 peratus mata peratusan.

“Angka ini tidak boleh boleh dinafikan lagi oleh pihak kerajaan kerana ia tercatat sendiri di dalam laporan Bank Negara yang mereka sendiri cetuskan.”

Tambahan pula katanya, kadar pertumbuhan pada tahap 4.9 mata peratusan ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan kerana nisbah hutang domestik kepada keluaran dalam negara kasar (Domestic Debt to GDP Ratio) naik ke paras 40.1 peratus pada suku kedua 2019 berbanding hanya 34.5 peratus pada suku pertama 2018.

“Secara keseluruhannya, nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (Debt to GDP Ratio) meningkat dari 48.7 pada suku pertama 2018 kepada 52.7 peratus pada suku kedua 2019.

“Lebih membimbangkan sumbangan pertumbuhan ekonomi seperti yang diumumkan oleh Bank Negara itu kebanyakkannya disumbangkan oleh perbelanjaan dan bukannya pelaburan baharu yang boleh memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.” – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.