Pertahankan Utusan Malaysia, Lambang Perjuangan Orang Melayu – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – “Syukur Alhamdulillah Utusan Malaysia kembali bangkit setelah mendapat bantuan suntikan dari UMNO dan sokongan berterusan orang Melayu di negara kita,” demikian luah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau turut difahamkan, cetakan utusan habis dijual pada Rabu yang menjadi bukti dokongan orang Melayu pada Utusan.

“Nyata, orang Melayu harus bangkit bersama Utusan Malaysia. Jangan mudah mengikut telunjuk Dap yang menghasratkan agar Utusan Malaysia kecundang!” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya hari ini.

Katanya, semangat orang-orang Melayu terkandung di dalam Utusan dimana Utusan sebagai lidah Melayu sejak sebelum merdeka iaitu pada 29 Mei 1939.

“Penubuhan Utusan Melayu, 29 Mei 1939 amat besar ertinya kepada bangsa Melayu seluruhnya. Utusan Melayu juga merupakan khazanah negara yang melahirkan pejuang-pejuang Melayu menyuarakan kedudukan dan hak orang Melayu.

“Jika bukan kita rakyat Malaysia yang memberikan sokongan kepada Utusan, siapa lagi yang berhak menjaga khazanah negara ini?

“Sudah semestinya masa depan Utusan terletak di tangan orang Melayu.”

Tegasnya, Utusan Melayu adalah kejayaan terbesar orang-orang Melayu dimana kerana Utusanlah orang Melayu menggapai puncak kejayaan dalam bidang media cetak.

“Malah, Dato’ Onn Jaafar yang memimpin UMNO pada 1946 – 1951 menyifatkan perjuangan UMNO adalah hasil seruan jiwa kebangkitan akhbar Utusan Melayu!

“Saya masih ingat dalam lipatan sejarah, keluaran sulung Utusan Melayu menyeru umat Melayu, supaya pertubuhan Melayu ditubuhkan.

“Utusan Melayu ketika itu, dianggap sebagai cerminan kebangkitan Melayu yang sedang menghadapi masa depan yang tidak menentu dan terancam.”

Jelas beliau, Sarjana dari Scotland, Prof. William R. Roff pada masa itu juga pernah berkata, para pembaca Utusan yang ingin menolong akhbar itu digalakkan menulis, untuk menyemarakkan suara kebangkitan.

“Bayangkan ‘orang luar’ juga cakna tentang kebangkitan Melayu dan Utusan, bagaimana pula kita… yang bernama anak Melayu?

“Generasi kini perlu tahu akan sejarah perjuangan dan kegemilangan Utusan Melayu kerana generasi kini adalah pewaris bangsa.”

Katanya, semat nama tokoh wartawan Melayu, Abdul Samad Ismail dijiwa kita.

“Inilah sosok tubuh yang mengguna mata pena melalui Utusan untuk berjuang menentang penjajahan dari sebelum Perang Dunia Kedua hingga menjelang merdeka!

“Dari mata pena, beliau mengembalikan maruah negara.”

Ujarnya, melihat pada situasi sekarang, masalah perpaduan dan ekonomi di negara kini semakin menghimpit hak bangsa Melayu.

“Orang Melayu harus kuat bersama Utusan Malaysia agar suara-suara perjuangan dan hak orang Melayu… terus dipertahankan.

“Utusan Malaysia benteng kepada penindasan ‘suara luar’ terhadap orang-orang Melayu!

“Sebagai orang Melayu… menjadi tanggungjawab kita untuk pertahankan Utusan Malaysia.”

Maka katanya lagi, dengan setiap hari kita melanggan Utusan Malaysia, kita mampu mengekalkan imej serta suara orang Melayu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.