Krisis Keyakinan Rakyat Parah, Rombakan Kabinet PH Tiada Impak… Dap Barah Keharmonian Negara – SUA

KUALA LUMPUR, 22 Ogos – Rombakan kabinet jika berlaku tidak membawa apa-apa impak kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), ujar Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Bahkan katanya dalam satu hantaran di Facebook, berkemungkinan jika mantan menteri kabinet era Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dibawa masuk ia sekadar menambah kemelut PH dengan para oportunis yang gagal sewaktu mereka di dalam Barisan Nasional (BN).

“Rombakan kabinet secara tenggekkan dan tempelan bukan penyelesaian atau jawapan kepada masalah dan krisis keyakinan rakyat yang semakin parah.

“Barah sebenar dalam PH adalah Dap dan mereka yang kuat menyokong Dap.

“Selagi barah ini tidak dibuang, kerajaan akan terus berhadapan masalah lebih besar. ‘Toxic’ yang dibawa Dap terlalu beracun kepada suasana harmoni di Malaysia,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berpendapat bagaimanapun ia terpulang kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (TM).

“Apapun, segalanya terletak di tangan TM. Beliau perlu memperbetulkan formula gabungan yang dikira terbaik bagi kepentingan nasional.

“Ini adalah satu peluang TM meninggalkan legasi untuk Malaysia,” tambahnya lagi.

Apa yang penting juga ujar Annuar, semua pihak perlu meletakkan kepentingan negara.

“Sementara itu semua pihak harus memandang ke hadapan dengan mendahulukan kepentingan negara.

“Tiada satu parti pun boleh berdiri sendiri atau mendapat mandat majoriti. Muafakat dan Gabungan adalah kemestian,” katanya lagi.

Justeru katanya, UMNO dan PAS akan sentiasa berganding bahu menentang sesiapa sahaja yang bersama Dap, termasuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“UMNO dan PAS akan sentiasa bersama. Kami menolak Dap sama sekali. Kami bersiap untuk menghadapi sesiapa saja yang bersama Dap dalam PRU akan datang.

“Dengan izin Allah SWT sesuatu yang baik didatangkan kepada kami. Agama kami dahulukan. Bangsa dan negara kami perjuangkan, dalam suasana kesederhanaan, toleransi dan kebersamaan seperti yang diajar oleh Islam,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.