Utusan Wadah Politik Bangsa Melayu, Rayer Cuba Tangguk Di Air Keruh

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Dap RSN Rayer yang menyifatkan nasib Utusan yang dikatakan bakal dihentikan penerbitannya sebagai ‘pencapaian terbesar Pakatan Harapan (PH) dalam membanteras perkauman’.

Jelas beliau, di negara ini ada surat khabar berbahasa Cina dan India tetapi mengapa Utusan pula yang dilabelkan sebagai perkauman dan rasis.

“Utusan tidak rasis… bukan perkauman. Utusan hanya menyuarakan aspirasi orang Melayu, kepentingan orang Melayu. Itu boleh dikatakan rasis ke? Kita Cuma mempertahankan hak kita.

“Rayer ini memang macam itu, cuba menangguk di air keruh, cuba mengeskplotasi… cuba mencemuh UMNO dan cuba nak tunjuk kononnya dia membela,” ujar beliau pada sidang media di kediamannya malam tadi.

Tambah Tajuddin, kenyataan Rayer itu juga jelas menunjukkan dia sengaja mahu menimbulkan masalah perkauman ekoran akhbar tersebut merupakan wadah bagi orang Melayu.

“Rayer sebenarnya cuba bermain dengan sentimen sedangkan Utusan bukanlah sebagaimana seperti apa yang dianggap olehnya,” tegas beliau.

Selain itu Tajuddin turut melahirkan rasa simpati dengan permasalahan yang menimpa warga Utusan.

Beliau turut mengutarakan cadangan pelancaran tabung bagi mengutip dana membantu kakitangan Utusan di seluruh negara.

Dilaporkan, semalam pentadbir Facebook Ahli Parlimen Jelutong itu berkongsi kenyataan daripada Rayer antara lain menyifatkan ‘kematian’ Utusan Malaysia satu kejayaan besar Pakatan Harapan (PH) yang ingin menghapuskan sifat perkauman.

“Saya fikir kematian Utusan akan menjadi kejayaan kepada Pakatan Harapan yang paling besar apabila kita berusaha menghapuskan perkauman di negara ini dan meraikan 62 tahun kemerdekaan,” kata kenyataan tersebut.

Rayer bagaimanapun menarik balik kenyataan berkenaan atas alasan pembantunya menghantar kepada pihak media tanpa sempat beliau menyemak isi kandungan terlebih dahulu.

Dalam kenyataan terbaharu yang masih dipaparkan di Facebook beliau, Rayer mendakwa Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang tidak menyumbang kepada sebarang bentuk pembangunan serta integrasi negara selepas kemerdekaan.– UMNO ONLINE