Projek Lampu Jalan LED Luar Bandar: BN Lulus, Dah Rasmi Pun… Tapi PH Ciplak Idea Dan Rasmi Lagi

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob gelihati melihat gelagat menteri kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilihat begitu teruja merasmikan projek kerajaan.

Tambah melucukan katanya, sehingga dua orang menteri dan seorang timbalan menteri hadir ke perasmian projek lampu jalan jenis Diod Pemancar Cahaya (LED) bagi kawasan luar bandar, walaupun projek tersebut telahpun dirasmikan olehnya dahulu ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB).

“Kenapa perlu sampai dua orang menteri kabinet?

“Mungkinkah Menteri KPLB yang baharu Rina Harun sangat teruja dengan projek Lampu Jalan LED?

“Sebenarnya projek ini merupakan idea kerajaan Barisan Nasional (BN) dan telahpun dirasmikan di Bera, Pahang ketika saya berada di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, pada 1 Oktober 2017, untuk negeri Pahang sahaja beliau telah mengumumkan sebanyak 7,700 unit lampu jalan akan dipasang menerusi projek Lampu Jalan Kampung (LJK) Fasa Lapan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 6,333 unit adalah lampu jenis LED.

“Pada 17 Oktober 2017, untuk negeri Sarawak, saya telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM14.64 Juta bagi pemasangan 16,292 unit LJK.

“Daripada jumlah tersebut, 792 unit merupakan LJK jenis LED,” ujarnya.

Mengulas lanjut Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera berkata di bawah BN projek tersebut semakin meluas melibatkan seluruh negara bagi bajet tahun berikutnya.

“Di bawah Bajet 2017, kerajaan BN meluluskan RM100 juta bagi program LJK di seluruh negara melibatkan sebanyak 120,000 unit dan daripada jumlah itu, 6,333 unit adalah LJK jenis LED.

“Pada 26 Disember 2017 juga, saya mengumumkan sebanyak RM245 juta bagi membiayai pemasangan sebanyak 317,000 unit. Manakala saya juga telah mengumumkan sebanyak 4,847 unit melibatkan kos keseluruhan RM4 juta siap dipasang di seluruh Terengganu sepanjang 2017 di mana 447 daripadanya adalah lampu jenis LED.

“Pada 16 Februari 2018 ketika program rakyat di Muar, Johor, saya bersama bekas Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak mengumumkan bajet tambahan sebanyak RM100 juta untuk memasang 50,000 lampu jalan kampung LED di seluruh negara,” tambahnya.

Justeru itu katanya, ternyata apa yang dirancang dan dilaksanakan oleh kerajaan BN sejak dahulu adalah demi kemudahan dan kesenangan rakyat.

“Berbeza dengan kerajaan PH yang hanya meneruskan projek ini dengan peruntukan operasi dan selenggara RM83 juta setahun untuk 10,000 unit sahaja bagi kawasan semenanjung.

“Tak perlulah hingga memerlukan dua orang menteri kabinet merasmikan projek lampu jalan LED luar bandar ini seolah-olah mereka yang pelopor pembangunan ini.

“Hanya teruskanlah kerja dan selesaikan amanah rakyat walaupun kalian sekadar menciplak idea kerajaan BN,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.