Ahli Parlimen Jelutong Biadab, Apa Sumbangannya Kepada Negara? – DMJ

JOHOR BAHRU, 21 Ogos – Tindakan biadab dan kurang ajar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang menyifatkan ‘kematian’ Utusan Malaysia satu kejayaan di bawah Pakatan Harapan (PH) merupakan satu penghinaan kepada akhbar yang banyak berjasa kepada negara semenjak sebelum merdeka lagi.

Ahli Dewan Muda Johor (DMJ), Onn Mahathir Md. Nasir berkata, adakah Ahli Parlimen Jelutong itu sudah lupa sumbangan Utusan Malaysia melalui Utusan Melayu pada tahun 1939 membuat seruan melalui pena mereka sehingga orang Melayu bersatu membentuk UMNO dan berjuang mendapatkan kemerdekaan pada 1957.

Atas hasil perjuangan itu juga katanya, individu seperti Ahli Parlimen Jelutong mampu menjadi rakyat Malaysia dan hidup dengan aman serta harmoni sehingga mendapat keistimewaan menjadi wakil rakyat.

“Jika hendak ditimbang tara antara jasa dan sumbangan Utusan Malaysia dan Ahli Parlimen Jelutong, pastinya ibarat emas dengan kapas kerana individu sepertinya langsung tidak menyumbang kepada negara, apatah lagi sumbangan ke arah perpaduan kaum.

“Beliau akan sentiasa tidak senang melihat orang Melayu dan rakyat Malaysia terus bersatu padu, malah akan terus membakar api perkauman dan terus berusaha untuk melihat Utusan Malaysia terus berkubur,” katanya dalam kenyataan semalam.

Bagaimanapun, semalam Rayer menarik balik sebahagian daripada kenyataannya mengenai akhbar Utusan Malaysia atas alasan pembantunya menghantar kepada pihak media tanpa sempat beliau menyemak isi kandungan terlebih dahulu.

Onn Mahathir menegaskan, Utusan Malaysia tidak rasis kerana mempunyai hak untuk membela serta terus memperjuangkan agenda kepentingan bangsa selaras dengan hak dan kepentingan yang tersedia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Akhbar itu, katanya, dari dahulu sehingga kini sangat berani membela dan membawa suara orang Melayu yang sedang menghadapi masa depan yang tidak menentu dan terancam.

“Jasa tokoh seperti Dr. Ishak Muhamad atau Pak Sako kepada seluruh bangsa dan negara ini meliputi pelbagai bidang seperti politik, sastera, bahasa dan kewartawanan, beliau menulis penuh dengan kiasan dan amaran tentang peminggiran dan kemelaratan orang Melayu di tanah air sendiri sejak negara dijajah penjajah lagi,” katanya.

Onn Mahathir berkata, melihat keadaan Malaysia hari ini, rakyat terutama orang Melayu masih memerlukan peranan Utusan Malaysia untuk terus membela dan memperjuangkan agenda bangsa.

Justeru, katanya, rakyat negara ini terutama orang Melayu perlu terus menyokong dan terus menyumbang untuk kelangsunggan akhbar yang banyak berjasa kepada tanah air ini. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.