Wanita UMNO Lancar Tabung ‘Sumbangan Ikhsan Wanita Prihatin’ Bantu Kakitangan Utusan Melayu

SHAH ALAM, 20 Ogos – Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Sohar berkata, Wanita UMNO telah pun melancarkan tabung ‘Sumbangan Ikhsan Wanita Prihatin’ bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh kakitangan Utusan Melayu.

Ujar beliau, sebagai seorang ibu, Wanita UMNO amat memahami kesukaran yang sedang ditanggung oleh warga Utusan.

“Kita difahamkan hampir 800 orang warga Utusan yang kini tidak dibayar gaji. Saya telah ditugaskan oleh Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Noraini Ahmad untuk mengutip sumbangan di seluruh negara, di setiap bahagian dan program mengutip sumbangan ini telah bermula tiga hari lalu.

“Segala sumbangan ini kita akan serahkan kepada badan keluarga Utusan Melayu. UMNO sememangnya prihatin dengan dengan nasib warga Utusan apatah lagi Utusan adalah satu media yang telah banyak memperjuangkan UMNO dari dulu.

“Namun dalam keadaan akaun pusat dan negeri-negeri yang telah dibekukan, kita sememangnya menghadapi kesukaran untuk membantu tetapi itu bukan alasan,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Datuk Rosni Sohar
Tambah Rosni, Wanita UMNO akan berusaha sebaik mungkin untuk membantu dan Ketua Wanita UMNO Malaysia akan mengumumkan dalam masa terdekat berapakah jumlah wang yang telah berjaya dikumpulkan.

“Inilah tanda sokongan Wanita UMNO Malaysia kepada Utusan,” luah beliau.

Untuk rekod, Syarikat Utusan Melayu bergelut dengan masalah kewangan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menyebabkan penangguhan pembayaran gaji kakitangannya beberapa kali.

Selepas PRU-14, Utusan terpaksa memberhentikan separuh daripada pekerja iaitu sebanyak 800 kakitangan melalui skim VSS pada Disember 2018. Pemberhentian yang bertujuan untuk mengurangkan kos operasi syarikat sekaligus menyelamatkannya itu bagaimanapun gagal. Kemelut sebuah syarikat akhbar berterusan.

Nasib syarikat dan seramai 769 orang kakitangan Utusan semakin menyedihkan apabila Pengerusi Eksekutif syarikat akhbar itu, Datuk Aziz Sheikh Fadzir sendiri mengakui gagal untuk menyelamat syarikat akhbar tersebut, malah lebih mengejutkan, Aziz sudah bersedia untuk melepaskan jawatan selepas kegagalan menangani masalah kewangan Utusan hingga menyebabkan gaji para pekerja tidak dapat dibayar.

Kumpulan Utusan telah diperbadankan pada tahun 1938 di Singapura sebagai Utusan Melayu Press Limited. Akhbar sulungnya, Utusan Melayu, telah dilancarkan pada 29 Mei 1939. Dengan menggunakan Jawi, iaitu tulisan Arab, akhbar tersebut dicetak di Singapura dan memenuhi kehendak para pembaca yang celik Jawi di Tanah Melayu jajahan British. – UMNO ONLINE