UMNO Telah Menjual Sahamnya Dalam Utusan – Annuar

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan sejak Februari 2019, UMNO telah menjual sahamnya kepada pihak syarikat swasta.
Katanya, UMNO tidak lagi mempunyai sebarang kuasa dalam pengurusan baharu syarikat Utusan.

“Begitu juga UMNO tidak campur tangan dalam hal-ehwal editorial akhbar tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelas beliau, UMNO amat bersimpati terhadap nasib bekas kakitangan yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan kakitangan yang ada sekarang.

“Namun pada waktu sama, UMNO tidak mempunyai kemampuan untuk membantu kewangan Utusan yang berada dalam keadaan kritikal kerana akaun UMNO telah dibekukan.”

Walau bagaimanapun, katanya, UMNO telah membantu atas dasar simpati dan kemanusiaan kepada kakitangan yang terlibat.

“Dengan penuh rasa simpati dan tanggungjawab, UMNO menyerahkan kepada pengurusan baharu untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“Masalah Utusan adalah masalah pengurusan serta perniagaan dan tidak harus dipolitikkan sama sekali,” terang beliau lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.