Tuduhan Melulu UMNO-PAS Ambil Hak Bukan Melayu

SEGAMAT 20 Ogos – Kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa kerjasama erat UMNO dan Pas bersama MCA serta MIC untuk merampas hak orang bukan Melayu dan Islam sebagai tidak bertanggungjawab dan melulu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tuduhan tersebut tidak berpaksi kepada fakta serta sejarah di mana sebelum ini tiada satu pun hak bukan Melayu dan Islam dirampas oleh UMNO.

“Sepanjang lebih enam dekad UMNO menerajui Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen lain memerintah negara tidak pernah perkara seumpama itu berlaku.

“Senarai 10 orang terkaya di Malaysia yang terdiri daripada orang bukan Melayu dan Islam adalah bukti paling jelas bahawa UMNO mahu pun Pas tidak pernah dan tidak langsung berniat merampas hak mereka”, katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika mengulas kenyataan Guan Eng bahawa pembangkang mahu mengambil hak bukan Melayu ketika hadir dalam Program Bual Bicara Penyatuan Umah di Felda Redong di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin, Ketua UMNO Sekijang, Datuk Dr. Baharum Mohamad, Naib Ketua UMNO Sekijang, Anuar Manap dan Ketua Muslimat Pas Sekijang, Normala Sudirman.

Malah katanya, sepanjang lebih 20 tahun Pas memerintah Kelantan juga tidak pernah merampas hak orang bukan Melayu dan Islam.

Bukan sahaja di Kelantan katanya, tetapi di Kedah dan Terengganu juga tidak berlaku perkara sama.

Menurutnya, apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila bukan Melayu bebas mengumpul kekayaan tanpa diganggu gugat oleh mana- mana pihak di negara ini sepanjang BN memerintah.

“Walaupun jumlah mereka hanya sekitar 30 peratus iaitu Cina 23 peratus dan India tujuh peratus, berbanding 70 peratus Melayu dan bumiputera, mereka diberi ruang yang cukup luas untuk membina kehidupan yang baik termasuk dari sudut ekonomi, pendidikan dan kesihatan selama ini.

“Sebenarnya tidak tinbul isu mahu mengambil hak orang bukan Melayu dalam kalangan kami (UMNO dan Pas). Mereka sengaja mereka -reka cerita kerana takut pada bayang – bayang sendiri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.