Terowong Dasar Laut: ‘Capati Bertimbun Capati’, Ratusan Juta Dibayar… Tangguh Sampai Tak Tahu Tarikh

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak membidas kerajaan negeri Pulau Pinang yang terus berdolak-dalih dan tidak menepati janji sendiri berhubung pelaksanaan terowong dasar laut mereka waima menyediakan laporan kebolehlaksanaan walaupun beratus juta telah dibayar.

Najib dalam Facebooknya mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri kerajaan Dap itu, Chow Kon Yeow hari ini yang menafikan bahawa laporan kebolehlaksanaan bernilai RM305 juta untuk projek ‘terowong ajaib’ bernilai RM6.3 bilion itu lambat.

“Projek ini dianugerahkan pada bulan Mac 2013 dan mengikut jadual asal, semua laporan itu patut siap pada tahun 2015.

“Hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang kata “mana ada lambat? laporan sudah sampai tahap kesiapan 98%,” bidasnya lagi.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan merujuk kepada jadual asal projek tersebut.

“Mengikut jadual asal projek ini juga, dua dari tiga jalan dalam projek ini sepatutnya sudah bermula pembinaan pada tahun 2015 dan siap tahun lepas 2018. Satu lagi jalan sepatutnya mula dibina pada tahun 2017 dan siap tahun depan 2020.

“Manakala pembinaan terowong patut bermula tahun ini dan siap tahun 2023. Tapi setakat hari ini iaitu lebih dari 6 tahun selepas projek diberi, tidak ada satu jalan atau terowong telah bermula pembinaan.

“Laporan pun boleh siap? Mana ada lambat? Soalnya dengan sinis.

Mengulas lanjut, Najib mengaitkan berita-berita mengenai janji-janji kerajaan Dap Pulau Pinang yang ketika itu di bawah kuasa Lim Guan Eng mengenai projek tersebut yang gagal dilaksanakan dan berterusan tangguh.

“Tahun 2015, mereka mengaku projek sudah lambat tetapi kata pembinaan tentu akan mula tahun 2016. Tapi belum ‘start’. Oleh itu, Dap kata pembinaan tertangguh tetapi janji akan ‘start’ tahun 2017.

“Gagal untuk mula pembinaan lagi. Lepas itu, Dap kata gerenti akan ‘start’ pembinaan pada bulan Jun 2018. Itupun ‘dicapati’. Oleh itu, pada bulan Julai 2018, mereka kata projek akan mula dibina pada suku kedua tahun 2018.

“Pada suku kedua tahun 2019 pula, Dap kata ada ‘delay’ lagi dan projek akan ‘start’ pada bulan September nanti. Akan tetapi, hari ini Ketua Menteri Pulau Pinang kata pembinaan tak dapat bermula pada bulan September dan akan ditunda kepada satu tarikh yang akan diumumkan nanti,” jelasnya lagi.

Disebabkan itulah Najib menggelarkan kerajaan Dap yang memungkiri janji sebagai ‘mencapati’ janji.

“’Capati bertimbun capati’. Ratusan juta sudah bayar dan itulah status projek itu sehingga hari ini.

“Mana ada lambat? Projek ini mana ada masalah?,” sindirnya sekali lagi merujuk kepada kenyataan terbaharu Chow itu.

Justeru, Najib berkata apa yang diterangkannya itu merupakan sebuah kisah mengenai projek mega ‘terowong ajaib’ kesayangan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Guan Eng yang kini menjadi Menteri Kewangan yang digelar sebagai ‘Menteri Kewayangan’.

“Lima kertas siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap projek ini termasuk pengakuan dari pemilik syarikat terowong bahawa kepentingan 10% projek serta wang rasuah telah dibayar kepada pemimpin kanan Dap telah siap awal tahun lepas.

“Tetapi semua masih di pejabat Peguam Negara untuk tunggu keputusan nak dakwa atau tidak sejak 18 bulan dahulu.

“Inilah kisah projek mega terowong ajaib kesayangan Menteri Kewayangan kita di mana sogokan sebanyak RM22 juta pernah dibayar untuk menghentikan siasatan rasuah ke atas projek ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.