#HPU914: Penyatuan Ummah Gerakan Dinamik, Pilihan Terbaik Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata apa yang UMNO lakukan bersama PAS menerusi penyatuan ummah adalah satu gerakan dinamik dan bukannya sekadar peristiwa menandatangani piagam semata-mata.

Pada sidang media bersama Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyudin Hasan mengenai Himpunan Penyatuan Ummah dan Majlis Menandatangani Piagam bertarikh 13 dan 14 September (HPU914) ini, Annuar menjelaskan piagam itu nanti akan terkandung falsafah dan dokongan yang akan didokong oleh kedua-dua parti.

“Apa yang UMNO dan PAS lakukan ini ianya bersifat satu gerakan yang dinamik dan bukan hanya satu peristiwa menandatangani piagam. Sebab di dalam piagam itu nanti termaktub beberapa falsafah dan dokongan yang akan didokong bersama oleh kedua-dua parti. Selepas ianya ditandatangani satu gerakan daripada negeri ke negeri dengan dipimpin oleh presiden kedua-dua parti akan menyusul. Gerakan ini mesti bersifat massa dan terbuka.

“Muafakat ini juga mesti bersifat nasional dan inklusif. Kita merasakan negara kita memerlukan kepada penambahbaikan atas segala kebejatan politik yang sedang kita alami dan kita merasakan penyatuan ummah yang lebih bermakna dan lebih besar adalah satu daripada perkara yang perlu kita lakukan.”

Ini sekaligus katanya, untuk membentuk satu gagasan yang besar dan benar-benar dapat membawa perubahan cukup bermakna kepada politik negara.

“Sudah tentu ianya menjurus ke arah PRU-15 yang mana rakyat akan mempunyai peluang untuk membentuk kerajaan yang lebih baik daripada kerajaan sedia ada,” tambahnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hasan berkata HPU914 merupakan satu pilihan kepada rakyat di negara ini untuk melihat dan membuat penilaian terbaik menjelang pilihan raya umum nanti.

“Kita juga melihat HPU914 ini sebagai satu pilihan yang akan kita beri kepada rakyat negara ini.

“Kita mewakili pihak pembangkang dalam negara ini dan kita berdepan dengan pemerintah… jadi penyatuan ummah ini adalah satu konsep pilihan yang diberi kepada rakyat. Penghujungnya adalah PRU-15… terus terang kita katakan matlamat kita dalam soal ini,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.